Bos Samsung dibebaskan daripada tuduhan penipuan

Bos Samsung dibebaskan daripada tuduhan penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah Tertinggi Korea Selatan hari ini membebaskan Ketua Eksekutif Samsung, Lee Jae-yong, daripada tuduhan penipuan berkaitan penggabungan syarikat pada 2015, sekali gus menamatkan pertempuran undang-undang yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Jae-yong, cucu pengasas Samsung dan ketua de facto syarikat itu sejak 2014, sebelum ini didakwa menggunakan penipuan saham dan perakaunan untuk mengukuhkan kawalannya ke atas syarikat.

Mahkamah Tertinggi mengekalkan keputusan tidak bersalah dalam dua perbicaraan sebelum ini, sekali gus menolak semua tuduhan terhadap Jae-yong.

“Mahkamah Tertinggi hari ini mengesahkan bahawa penggabungan Samsung C&T dan amalan perakauan Samsung Biologics adalah sah.

“Kami amat berterima kasih kepada mahkamah atas keputusan bijak yang dibuat selepas proses perbicaraan menyeluruh selama lima tahun,” kata peguam Jae-yong dalam kenyataan.

Kes itu menarik perhatian meluas terhadap gergasi teknologi berkenaan, ketika Korea Selatan terus bergelut dengan skandal rasuah korporat melibatkan konglomerat keluarga berpengaruh yang dikenali sebagai chaebol.

Pihak pendakwaan menuduh Jae-yong dan penasihatnya menaikkan nilai syarikat farmaseutikal miliknya, Samsung Biologics, melalui perakauan yang meragukan.

Mereka berhujah, penilaian lebih tinggi itu membolehkan Jae-yong membeli pegangan lebih besar dalam anak syarikat utama Samsung menerusi perjanjian penggabungan pada 2015, yang menjamin kedudukannya sebagai pewaris.

Menurut pendakwaan, penggabungan itu dirancang bagi memindahkan kawalan syarikat daripada bapanya, Lee Kun-hee, yang sebelum ini menghadapi masalah undang-undang dan mengalami serangan jantung pada 2-14 sebelum meninggal dunia pada 2020.

Jae-yong pertama kali ditangkap pada 2017 atas tuduhan merasuah penasihat kepada bekas Presiden Park Geun-hye untuk melicinkan proses peralihannya sebagai pemimpin Samsung.

Sepanjang proses undang-undang, beliau pernah menjalani hukuman penjara yang kemudiannya dipendekkan, termasuk pengampunan khas presiden ketika beliau dalam tempoh parol.

Pada ketika itu, kerajaan menyatakan bahawa ketua syarikat terbesar negara itu diperlukan untuk menerajui pemulihan ekonomi Korea Selatan susulan pandemik Covid-19.

Pada 2024, sebuah mahkamah daerah membebaskan Jae-yong daripada semua pertuduhan berkaitan penggabungan bernilai AS$8 bilion (RM33.9 bilion) antara dua anak syarikat Samsung.

Beliau sekali lagi dibebaskan selepas pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Kes undang-undang yang berlarutan selama hampir sedekad itu menambah tekanan kepada Samsung, yang turut berdepan persaingan sengit dalam pasaran global.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN