GAZA: Bayi berusia 35 hari disahkan meninggal dunia akibat kebuluran di Hospital al-Shifa, Gaza ketika serangan tentera Israel terus meragut lebih 100 nyawa di seluruh wilayah terkepung itu.
Pengarah hospital, Dr Muhammad Abu Salmiya memberitahu Al Jazeera, bayi tersebut merupakan antara dua individu yang meninggal akibat kekurangan zat makanan di pusat perubatan itu semalam.
Kematian berlaku ketika Gaza terus menderita akibat sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel dan serangan ke atas orang awam yang terdesak mendapatkan makanan di lokasi bantuan disokong Amerika Syarikat (AS), yang disifatkan sebagai ‘perangkap maut’.
Kementerian Kesihatan Gaza memberi amaran wad kecemasan hospital kini sesak dengan jumlah luar biasa rakyat yang kelaparan, termasuk lebih 17,000 kanak-kanak menderita kekurangan zat makanan serius.
Dalam masa sama, serangan berterusan Israel di seluruh Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 116 orang sejak awal pagi Sabtu, menurut sumber perubatan.
38 rakyat Palestin ditembak ketika beratur mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, serangan berlaku berhampiran lokasi agihan bantuan di barat daya Khan Yunis dan barat laut Rafah. Beliau menyatakan kesemua kematian berpunca daripada tembakan tentera Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza mendakwa, hampir 900 rakyat Palestin terbunuh di kawasan berdekatan tapak agihan GHF sejak Mei lalu, apabila organisasi itu mengambil alih empat lokasi agihan menggantikan lebih 400 pusat bantuan yang sebelum ini diurus oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan kebajikan lain.
Dari Deir el-Balah, wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary melaporkan, keluarga yang berharap memperoleh sedikit makanan, kini hanya mampu mengkebumikan orang tersayang.
GHF dalam kenyataannya menafikan kejadian tembakan itu berlaku di lokasi kendaliannya sambil mendakwa insiden berlaku beberapa kilometer dari pusat agihan mereka dan sebelum ia dibuka.
Tentera Israel pula memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung insiden tersebut.










