MELAKA : “Saya lihat jenazah anak seperti sedang tidur, memang saya tunggu dia bangun tapi saya reda dan terima ketentuan Allah ini tanpa menyalahkan pihak taska,”.
Demikian luahan pilu Muhammad Faiz Adli Mohd Khatib, 33, selepas kehilangan anak bongsunya, Saif Fahri, yang berusia enam bulan.
Bayi lelaki itu ditemukan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh sebuah taska di Taman Melayu, Padang Temu, di sini kira-kira pukul 5 petang semalam.
Menurut Muhammad Faiz, walaupun sedih dengan apa yang berlaku, dia dan isterinya, Nur Saadah Zamri, 33, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, termasuk pengurusan taska berkenaan kerana menyedari tiada apa yang mampu mengembalikan nyawa anak kesayangan mereka.
“Saya marah-marah pun anak saya takkan hidup semula, dia sudah pergi, ini semua takdir Allah.
“Kalau Saif berada dengan saya pun, kalau ajal sudah sampai, tetap akan berlaku. Anak sulung saya dulu pun hantar taska sama sejak umur tiga bulan, tidak pernah ada masalah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Padang Temu di sini dipercayai akibat lemas selepas mangsa yang dibedung ditemui tertiarap di atas tilam, petang semalam
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN










