MOSCOW: Syarikat penerbangan Russia, Aeroflot, terpaksa membatalkan puluhan penerbangan pada Isnin, susulan kegagalan dalam sistem maklumatnya.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan masalah tersebut menjejaskan operasi tanpa memberikan butiran lanjut mengenai punca kegagalan atau tempoh masa diperlukan untuk menanganinya.
Sejak Russia melancarkan perang di Ukraine pada Februari 2022, pengembara di Russia sudah terbiasa dengan gangguan penerbangan.
Namun, kelewatan tersebut biasanya disebabkan oleh penutupan sementara lapangan terbang akibat serangan dron.
Aeroflot berkata, pakar sedang berusaha untuk meminimumkan kesan terhadap jadual penerbangan dan memulihkan operasi perkhidmatan seperti biasa.
Di Telegram, syarikat itu menyenaraikan lebih daripada 40 penerbangan yang dibatalkan ke destinasi di seluruh Russia, serta ke ibu negara Belarus, Minsk, dan Yeravan di Armenia.
Aeroflot menggesa penumpang yang terkesan pembatalan penerbangan supaya mengambil semula bagasi daftar masuk dan meninggalkan Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow.
Portal berita Baza melaporkan, suasana kelam-kabut di lapangan terbang itu, dengan kesesakan berlaku apabila penumpang beratur hanya untuk keluar.
Walaupun berdepan sekatan antarabangsa akibat perang yang secara drastik mengehadkan perjalanan serta laluan penerbangan, Aeroflot kekal sebagai antara 20 syarikat penerbangan teratas dunia dari segi jumlah penumpang.
Pada 2024, trafik penumpang Kumpulan Aeroflot mencecah 55.3 juta, menurut kenyataan di laman web syarikat penerbangan itu.- AGENSI









