TEHERAN: Kira-kira 27 banduan masih bebas selepas penjara Evin di utara Teheran menjadi sasaran serangan udara Israel bulan lalu.
Serangan itu merupakan sebahagian daripada kempen pengeboman Israel selama 12 hari ke atas Iran, yang mengorbankan kira-kira 1,100 nyawa.
Sebagai tindak balas, serangan Iran terhadap Israel turut menyebabkan 28 kematian.
Jurucakap kehakiman, Asghar Jahangir berkata, 75 banduan melarikan diri selepas penjara itu diserang, namun 48 daripadanya ditahan semula atau tampil menyerah diri secara sukarela, menurut laman berita Mizanonline.
Beliau berkata, semua banduan yang melarikan diri itu sedang menjalani hukuman atas kesalahan ringan.
“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan menahan baki banduan yang masih bebas sekiranya mereka tidak menyerah diri,” kata Jahangir.
Pegawai Iran mengesahkan serangan udara Israel ke atas penjara Evin bulan lalu meragut 71 nyawa, walaupun laporan media sebelum ini menyebut angka kematian mencecah 80 orang.
Mangsa termasuk kakitangan penjara, anggota tentera, banduan serta ahli keluarga yang sedang melawat.
Serangan itu mengundang kecaman antarabangsa, termasuk Pusat Hak Asasi Manusia berpangkalan di New York, yang menyifatkan tindakan Israel melanggar prinsip pembezaan antara sasaran awam dan ketenteraan.
Sementara itu, Amnesty International turut menyifatkan serangan tersebut sebagai disengajakan dan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Serangan ini perlu disiasat sebagai jenayah perang. Tiada sebarang bukti menunjukkan Penjara Evin boleh dianggap sasaran ketenteraan yang sah dari sehi undang-undang,” kata Amnesty.- AFP/AP










