SEOUL: Seorang wanita berusia 90-an di Korea Selatan menderma semua wang simpanan kepada Universiti Kyung Hee di Seoul.
Beliau meminta agar 50 juta won (RM153,921) wang simpanannya itu digunakan sebagai dana biasiswa untuk pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan.
Wanita itu melakukan derma tersebut pada Selasa dengan mengunjungi universiti yang terletak di Dongdaemun-gu, Seoul dan menyerahkan wang tunai dibungkus dengan surat khabar, menurut kenyataan universiti pada hari Khamis.
Wanita tersebut bagaimanapun memilih untuk tidak didedahkan identiti dan menolak untuk bergambar atau menerima sebarang hadiah daripada pihak universiti.
“Saya tidak pernah belajar tinggi, tetapi saya ingin membantu pelajar supaya mereka boleh terus belajar. Saya ingin menyimpan lebih banyak wang tetapi disebabkan usia, saya ingin menyerahkan apa yang telah disimpan sehingga kini,” katanya.
Warga emas itu berkata, beliau percaya Universiti Kyung Hee adalah institusi terbaik di kawasan itu yang akan menggunakan sumbangannya secara adil dan telus untuk para pelajar. Wanita tersebut bukan graduan universiti itu, begitu juga anak-anaknya.
“Derma ini bukan sekadar sumbangan, tetapi membawa hasrat tulus wanita warga emas itu untuk memperluas peluang pendidikan,” kata pihak universiti.
Universiti itu menambah, wang tersebut akan digunakan untuk membantu pelajar yang mengalami kesulitan kewangan.- AGENSI










