Trump jangka gencatan senjata Gaza dicapai dalam minggu depan

Trump jangka gencatan senjata Gaza dicapai dalam minggu depan

SEORANG lelaki mendukung kanak-kanak yang cedera dalam serangan Israel di kejiranan Saftawi, barat Jabalia, di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yakin gencatan senjata baharu antara Israel dan Hamas bakal dicapai dalam masa terdekat, ketika kritikan semakin meluas terhadap kematian rakyat Palestin di pusat agihan bantuan di Gaza.

“Kami percaya gencatan senjata akan dicapai dalam masa seminggu,” katanya ketika ditanya oleh wartawan mengenai perkembangan terkini di Gaza

Gencatan senjata yang dimeterai pada penghujung era pentadbiran bekas Presiden Joe Biden, hasil rundingan bersama pasukan peralihan Trump, akhirnya dilanggar Israel pada Mac lalu apabila rejim itu melancarkan serangan baharu ke atas Hamas.

Dalam konflik yang tercetus pada 7 Oktober 2023, Tel Aviv turut menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan makanan dan keperluan asas ke Gaza selama lebih dua bulan, sekaligus mencetuskan amaran kebuluran oleh pelbagai pihak antarabangsa.

Walaupun sekatan itu dilonggarkan melalui satu mekanisme baharu Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS dan Israel, badan itu menerima kecaman hebat selepas laporan menyatakan ramai penduduk Palestin terbunuh ketika menunggu mendapatkan bantuan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 500 orang telah terbunuh berhampiran pusat agihan sejak akhir Mei lalu, manakala Agensi Pertahanan Awam juga melaporkan insiden sama berulang hampir setiap hari.

Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan sistem agihan bantuan baharu itu sebagai medan pembunuhan yang menyaksikan orang awam ditembak ketika cuba mendapatkan makanan untuk diri dan keluarga mereka.

“Penyiksaan ini mesti dihentikan dan pengagihan bantuan mesti dikembalikan semula kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk @UNRWA,” katanya di platform X.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu mengorbankan 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam.

Sebagai tindak balas, Israel telah melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 56,331 nyawa di Gaza, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN