LOUGHBOROUGH: Sekumpulan ahli fizik dari sebuah universiti di Britain menggunakan teknologi nano untuk mencipta biola terkecil di dunia, iaitu alat muzik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan mikroskop.
Pasukan penyelidik dari Universiti Loughborough itu menjelaskan bahawa biola berkenaan diperbuat daripada platinum dan berukuran hanya 35 mikrometer panjang serta 13 mikrometer lebar, bersamaan satu juta bahagian daripada satu meter.
Sebagai perbandingan, ukuran tersebut jauh lebih kecil daripada diameter sehelai rambut manusia yang lazimnya berukuran antara 17 hingga 180 mikrometer.
Malah, ia juga lebih kecil daripada haiwan mikro berkaki lapan seperti tardigrade yang berukuran antara 50 hingga 1,200 mikrometer panjang.
Biola mikro ini dibangunkan sebagai demonstrasi terhadap kemampuan sistem nanolitografi terbaharu mereka iaitu teknologi yang membolehkan saintis membina dan mengkaji objek dan struktur berskala nano.
Pemilihan biola sebagai objek kajian turut mengandungi unsur jenaka, merujuk kepada frasa popular dalam budaya Barat iaitu ‘can you hear the world’s smallest violin playing just for you?’.
Frasa itu merupakan satu ungkapan sindiran yang digunakan untuk menunjukkan rasa simpati palsu terhadap rungutan yang berlebihan atau reaksi yang terlalu dramatik.
“Walaupun ciptaan ‘biola terkecil di dunia’ itu mungkin kelihatan seperti gurauan, proses di sebalik sebenarnya membantu meletakkan asas penting kepada penyelidikan yang sedang kami jalankan sekarang,” kata Ketua Jabatan Fizik Universiti Loughborough, Profesor Kelly Morrison dalam satu kenyataan media.- AGENSI










