TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke utara Gaza dihentikan serta-merta, selepas Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, mengugut untuk keluar daripada kerajaan gabungan.
Smotrich didakwa membuat desakan itu dalam mesyuarat Kabinet, dengan merujuk sebuah video tular memaparkan individu bersenjata berada di atas trak bantuan, meskipun ia belum disahkan kesahihannya dan tentera Israel sendiri gagal mengaitkan mereka dengan Hamas.
Menurut laporan Haaretz, media tempatan di Gaza menjelaskan individu dalam video itu bukan anggota Hamas, sebaliknya pengawal keselamatan yang dihantar oleh ketua-ketua suku bagi melindungi konvoi bantuan daripada dirompak.
Bantuan tersebut turut disahkan berjaya dihantar ke gudang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum diagihkan kepada rakyat Gaza, namun Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant tetap mengarahkan tentera menyediakan ‘pelan tindakan’ dalam tempoh 48 jam bagi menghalang Hamas daripada menguasai bantuan kemanusiaan yang masuk ke utara Gaza.
Israel berulang kali menyalahkan Hamas dalam isu rampasan bantuan, dan menggunakan alasan tersebut untuk mengetepikan peranan PBB dalam agihan bantuan, serta memperkenalkan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dikritik hebat masyarakat antarabangsa.
Pemerhati pula menegaskan, punca sebenar krisis bantuan bukan Hamas, tetapi kumpulan jenayah yang turut diberi kuasa oleh Israel sendiri.
Ini termasuk kumpulan pimpinan Yasser Abu Shabab, tokoh yang dinamakan dalam dokumen rasmi PBB kerana didapati terlibat secara sistematik dalam kegiatan merompak bantuan dan dipercayai menerima sokongan dan senjata daripada Israel dalam usaha untuk mewujudkan pentadbiran baharu pasca-Hamas di Gaza.
Namun, menurut sumber keselamatan Israel yang dipetik akhbar Yedioth Ahronoth, strategi tersebut sedang gagal.
Kebergantungan Israel terhadap kumpulan bersenjata bagi menguruskan agihan bantuan bukan sahaja gagal membawa ketenteraman, malah menyumbang kepada peningkatan ancaman keselamatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 500 rakyat Palestin terbunuh sepanjang sebulan lalu akibat ditembak tentera Israel ketika sedang menunggu bantuan makanan.
Sepanjang Jun, lebih 1,600 kanak-kanak dimasukkan ke hospital akibat kekurangan zat makanan, sekali gus menunjukkan dasar dan pendekatan semasa Israel terhadap Gaza bukan sahaja gagal, malah memangsakan orang awam.- AGENSI










