PETALING JAYA: Malaysia menggesa dunia bertindak dengan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan tindakan agresif ke atas Iran dan Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat dunia tidak boleh membiarkan tindakan yang mensabotaj usaha diplomasi dan mengancam keamanan global terus berlaku.
Kata beliau, Malaysia yang mengecam serangan itu, secara tegas menggesa negara yang mempunyai pengaruh dan kuasa untuk terus menekan dan menggunakan segala keupayaan bagi menghentikan tindakan agresif seterusnya.
“Serangan berkenaan adalah tindakan yang serius, melulu, mengancam dan menggugat kestabilan sebuah rantau yang sudah pun rapuh,” katanya dalam kenyataan.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran Israel akan menghadapi akibat yang amat berat susulan serangan tersebut.
Angkatan Tentera Iran juga berikrar akan beri tindak balas yang keras terhadap serangan Israel, dengan pasukan pertahanan udara bersedia 100 peratus.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tetap menghantar wakil untuk menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu hadapan bagi membincangkan penyelesaian antara Israel dan Palestin.
Anwar berkata, beliau menyokong sepenuhnya inisiatif oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Bin Salman untuk mempengerusikan mesyuarat itu.
“Mana-mana negara berhak untuk kemukakan pandangan mereka terutamanya keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza,” katanya yang ditemui media selepas solat Jumaat di Azzubair Ibn Awwam di Bandar Tun Razak, Cheras.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia supaya tidak menghadiri persidangan tersebut.
Washington menegaskan, mana-mana negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar Amerika Syarikat dan mungkin berdepan akibat diplomatik. – UTUSAN










