TEL AVIV: Sebuah mahkamah Israel semalam menolak permintaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk menangguhkan sesi keterangan dalam perbicaraan rasuah yang dihadapinya, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyarankan agar kes tersebut dibatalkan.
Permohonan itu dikemukakan peguam Netanyahu pada Khamis dengan alasan beliau perlu memberi tumpuan terhadap isu keselamatan, susulan tamatnya konflik selama 12 hari antara Israel dan Iran pada 24 Jun lalu.
Namun, Mahkamah Daerah Baitulmuqaddis dalam penghakiman yang disiarkan secara dalam talian menyatakan permohonan tersebut tidak mengemukakan asas kukuh atau justifikasi terperinci untuk membatalkan atau menangguhkan perbicaraan.
“Dalam bentuknya sekarang, permintaan tersebut tidak memberikan asas yang memadai atau justifikasi terperinci bagi pembatalan sesi perbicaraan,” menurut kenyataan penghakiman mahkamah.
Sebelum ini, Trump dalam satu kenyataan pada Rabu menganggap perbicaraan terhadap Netanyahu sebagai pemburuan ahli sihir, dan menyarankan agar kes itu dibatalkan segera atau diberikan pengampunan.
Netanyahu kemudian mengucapkan terima kasih kepada Trump atas sokongan beliau terhadap Israel dalam konflik singkat dengan Iran.
Perdana Menteri Israel itu menafikan sebarang salah laku, dan penyokongnya menyifatkan kes yang dibuka sejak 2020 itu sebagai bermotifkan politik.
Dalam kes pertamanya, Netanyahu dan isteri, Sara, didakwa menerima hadiah mewah bernilai lebih AS$260,000 (RM1.2 juta) termasuk barang kemas dan arak daripada beberapa hartawan sebagai balasan kepada layanan dan keistimewaan politik.
Dalam dua kes lain, beliau didakwa cuba merundingkan liputan media yang lebih positif daripada dua saluran media utama di Israel sebagai pertukaran kepada faedah tertentu yang diberikan kerajaan.
Sepanjang penggal semasa sejak hujung 2022, kerajaan pimpinan Netanyahu turut mencadangkan beberapa reformasi kehakiman, yang dikritik ramai pihak sebagai cubaan untuk melemahkan institusi kehakiman negara itu.
Sebelum ini, Netanyahu beberapa kali memohon penangguhan perbicaraan yang bermula pada Mei 2020, termasuk alasan konflik di Gaza yang meletus pada 2023, ketegangan berterusan di Lubnan dan peperangan terbaharu dengan Iran bulan ini.
Namun, keputusan mahkamah semalam memberi isyarat jelas prosiding undang-undang terhadap perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan. -AGENSI










