SEREMBAN: Pembangunan Kompleks Arena Seremban di atas tanah seluas 1.8 hektar menjadi mercu baharu yang mampu merangsang ekonomi bandar raya ini.
Dibina dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM250 juta, Kompleks Arena Seremban menawarkan lima komponen utama iaitu hotel butik dengan 99 bilik, bangunan pejabat setinggi tujuh tingkat, ruang komersial, pangsapuri dan stadium tertutup bertaraf antarabangsa.
Pengasas syarikat Karisma Perwira Sdn. Bhd., Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, Kompleks Arena Seremban mencerminkan komitmen jangka panjang pihaknya dalam menyumbang kepada pembangunan di Negeri Sembilan.
“Ini bukan sekadar pembangunan hartanah tetapi sebuah hab komuniti yang direka untuk menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat sama ada dalam urusan perniagaan, rekreasi, kebudayaan atau sosial,” katanya.
Kompleks Arena Seremban telah dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam.
Aminuddin dalam pada itu, berkata, projek berkenaan merupakan contoh terbaik bagaimana sektor swasta dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunan Negeri Sembilan.
“Saya percaya Kompleks Arena Seremban bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan malah mempelbagaikan aktiviti ekonomi, sosial dan pelancongan tempatan,” katanya.-UTUSAN.










