BUENOS AIRES: Seorang jururawat dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh lima bayi dan cuba membunuh lagi di sebuah hospital di Argentina, menurut laporan media tempatan.
Menurut pendakwa raya, Brenda Cecilia Aguero didapati menyuntik kalium dan insulin ke dalam tubuh bayi baru lahir antara Mac hingga Jun 2022, dengan mengambil bekalan daripada troli perubatan kecemasan tanpa kawalan inventori.
Di bawah undang-undang Argentina, Aguero tidak layak untuk parol sebelum menjalani hukuman selama 35 tahun.
Keputusan itu dibacakan oleh kerani mahkamah dan disiarkan oleh media tempatan pada Rabu.
Kesemua bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan sihat, namun meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di wad neonatal hospital di wilayah Cordoba, kira-kira 600 kilometer dari Buenos Aires.
Lapan lagi bayi berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pihak perubatan.
Perbicaraan itu turut melibatkan pertuduhan terhadap 10 individu lain, termasuk bekas pegawai kerajaan wilayah dan kakitangan kesihatan, atas tuduhan menutup kes serta cuai menjalankan tugas.
Antara yang didakwa adalah bekas Menteri Kesihatan dan Setiausaha Kesihatan Wilayah Cordoba, serta bekas pengarah hospital.
Aguero, yang ditahan pada 2022, menafikan semua pertuduhan dan mendakwa mahkamah tiada bukti, termasuk menuduh media menggambarkannya sebagai ‘pembunuh bersiri’.
Daripada 10 individu lain yang didakwa, lima didapati bersalah dan dikenakan hukuman ringan, manakala lima lagi termasuk bekas pegawai kerajaan wilayah dibebaskan, menurut laporan Infobae.- AFP










