LONDON: Israel terus menerima tekanan antarabangsa apabila United Kingdom (UK), Perancis dan Kanada mengeluarkan amaran keras berhubung tindakan ketenteraan berterusan di Gaza serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
Pemimpin dari tiga negara tersebut mengancam untuk mengambil tindakan konkrit, termasuk sekatan yang disasarkan, jika Israel tidak menghentikan serangan dan membuka akses bantuan yang mencukupi.
Perdana Menteri UK, Keir Starmer, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengutuk tindakan Israel menyekat bantuan ke Gaza, termasuk ancaman pengusiran besar-besaran rakyat Palestin.
“Jika Israel tidak menghentikan serangan ketenteraan dan menarik balik sekatan bantuan kemanusiaan, kami akan mengambil tindakan konkrit selanjutnya sebagai tindak balas.
“Kami komited untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin sebagai sumbangan ke arah penyelesaian dua negara dan bersedia bekerjasama dengan pihak lain bagi merealisasikannya,” kata ketiga-tiga pemimpin itu tanpa menyatakan tindakan yang bakal diambil.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kemudian membalas kritikan tersebut dengan menyifatkan penamatan tindakan ketenteraan hanya memberikan ganjaran besar buat Hamas dalam perang di Gaza.
“Israel menerima visi Presiden Donald Trump dan menggesa semua pemimpin Eropah untuk turut berbuat demikian,” katanya.
Perkembangan itu susulan daripada kenyataan Netanyahu yang mengisytiharkan penguasaan tentera Israel di seluruh Gaza, sebagai sebahagian daripada operasi darat terhadap Hamas, yang dimulakan sejak Ahad lepas.
AKSES PALING MINIMUM
Tekanan antarabangsa terhadap kebuluran memaksa Netanyahu mengumumkan kelonggaran paling minimum terhadap sekatan di Gaza.
Israel hanya membenarkan lima lori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa bantuan kemanusiaan, termasuk makanan bayi, memasuki Gaza selepas sekatan selama 11 minggu.
Walaupun mengalu-alukan langkah tersebut, ketua kemanusiaan PBB menegaskan jumlah itu umpama ‘setitis air dalam lautan’ berbanding yang diperlukan oleh 2.1 juta penduduk Palestin di wilayah tersebut.
Netanyahu mendakwa, keputusan untuk membenarkan sementara kemasukan makanan dalam jumlah ‘minimum’ berikutan tekanan daripada sekutu di Senat Amerika Syarikat (AS).
“Kita tidak boleh mencapai tahap kebuluran, baik dari sudut praktikal mahupun diplomatik,” tegasnya dalam video sebagai respon kepada kritikan terhadap langkah itu di Israel.
Bagaimanapun, pemimpin politik dan aktivis sayap kanan Israel dengan pantas mengkritik perubahan dasar yang mendadak itu.
Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir menyifatkan langkah itu sebagai kesilapan besar yang akan ‘memberi kekuatan’ kepada Hamas, sedangkan tebusan Israel merana dalam terowong.
Namun, Netanyahu memberi amaran ‘garisan merah’ kini menghampiri dan sekutu paling rapatnya, senator AS yang dikenali sebagai penyokong tegar Israel, mula menyuarakan kebimbangan mereka.
“Mereka datang kepada saya dan berkata, kami memberikan kamu sokongan untuk menang, tetapi ada satu perkara yang tidak boleh diterima, kami tidak mahu mengendalikan imej kebuluran.
“Jadi demi mencapai kemenangan, sehingga kita menubuhkan pusat pengagihan itu dan steril di bawah kawalan IDF, kita perlu menyediakan jambatan asas yang minimum, cukup untuk cegah kelaparan,” dakwa Netanyahu.
Israel menghentikan semua penghantaran bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial ke Gaza pada 2 Mac dan menyambung serangan ketenteraan dua minggu kemudian, sekali gus menamatkan gencatan senjata selama dua bulan dengan Hamas.
Langkah tersebut kononnya untuk memberi tekanan kepada kumpulan pejuang supaya membebaskan baki tebusan yang masih berada di Gaza.
Operasi ketenteraan itu dilaporkan meragut lebih 3,000 nyawa dan memaksa 400,000 penduduk berpindah, manakala sekatan menyebabkan kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan serta bahan api yang serius.
Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 57 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dalam tempoh 11 minggu lalu.- AGENSI










