SOCHI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa Russia dan Ukraine akan segera memulakan rundingan damai bagi mencapai gencatan senjata dan mengakhiri perang yang kini memasuki tahun keempat.
Perkara itu dimaklumkan Trump selepas mengadakan panggilan telefon selama lebih dua jam bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disifatkan berlangsung dengan ‘sangat baik’.
Bagaimanapun, Putin mengambil pendekatan lebih berhati-hati mengenai perbualan dengan Trump, walaupun beliau memberi petanda paling konkrit setakat ini untuk bersedia membincangkan kemungkinan gencatan senjata.
“Ia sangat bermaklumat dan terbuka secara keseluruhan, pada pendapat saya, sangat berguna,” kata Putin kepada media Russia selepas panggilan itu.
Beliau berkata, Russia akan mencadangkan dan bersedia untuk bekerjasama dengan Ukraine dalam memorandum persefahaman bagi perjanjian damai pada masa depan, yang akan menetapkan pelbagai kedudukan.
Namun kenyataan Putin meninggalkan banyak perkara yang tidak jelas, dan beliau menegaskan lebih banyak kompromi masih diperlukan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menasihati Trump dalam panggilan berasingan agar tidak membuat sebarang keputusan tanpa penglibatan negara itu.
Trump meletakkan harapannya untuk menamatkan konflik pada hubungan peribadinya dengan Putin, walaupun beliau semakin kecewa dengan keengganan pemimpin Kremlin itu untuk mencapai perjanjian.
“Saya percaya ia berjalan dengan sangat baik. Russia dan Ukraine akan segera memulakan rundingan ke arah gencatan senjata dan lebih penting, penamatan perang,” katanya dalam hantaran di Truth Social, kelmarin.
Trump kemudian berkata, beliau juga percaya Putin bersedia untuk gencatan senjata.
“Saya percaya dia mahu hentikannya. Jika Presiden Putin enggan menyelesaikan (konflik) ini, saya tidak akan bercakap mengenainya langsung,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.- AFP










