MADRID: Sebuah pesawat Lufthansa yang dalam penerbangan dari Frankfurt ke Seville tahun lalu, dilaporkan terbang selama 10 minit tanpa kawalan juruterbang selepas pembantu juruterbang (co-pilot) pengsan secara tiba-tiba ketika bersendirian di dalam kokpit.
Menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan pihak berkuasa penyiasatan nahas Sepanyol (CIAIAC), kejadian luar biasa itu berlaku pada 17 Februari 2024 ketika kapten pesawat jenis Airbus A321 tersebut keluar dari kokpit untuk ke tandas.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan membawa 199 penumpang dan enam anak kapal.
Walaupun sistem ‘autopilot’ diaktifkan dan pesawat terus terbang secara stabil, laporan menyatakan pembantu juruterbang telah menggerakkan beberapa kawalan secara tidak sengaja.
Perakam suara kokpit turut merekodkan bunyi yang menggambarkan berlakunya keadaan ‘pengsan secara mengejut dan serius’ oleh pembantu juruterbang dan pusat kawalan trafik udara dikatakan cuba menghubungi kokpit sebanyak tiga kali, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Kapten pesawat pula terpaksa membuat lima percubaan menggunakan kod biasa untuk membuka pintu kokpit tetapi tidak berhasil manakala seorang lagi krew kabin turut cuba menghubungi kokpit menggunakan sistem interkom sebelum kapten terpaksa menggunakan kod kecemasan bagi membuka pintu dan mengambil alih kawalan pesawat.
Menurut laporan, pembantu juruterbang diberikan rawatan kecemasan anak kapal dengan bantuan seorang doktor yang turut berada dalam pesawat dan beliau kembali sedar serta memaklumkan hanya mengingati dirinya dirawat oleh petugas pesawat serta doktor.
Bagi mengelakkan risiko lanjut, kapten memutuskan untuk mengubah haluan ke Lapangan Terbang Adolfo Suárez Madrid-Barajas dan mendarat kira-kira 20 minit kemudian sebelum pembantu juruterbang kemudian dihantar ke hospital dan menerima rawatan selama beberapa jam.
Siasatan lanjut mendedahkan, pembantu juruterbang tersebut mengalami simptom akibat kondisi neurologi sedia ada yang tidak diketahui dan gagal dikesan dalam pemeriksaan kesihatan aeronautik.
Lufthansa dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya sedar mengenai laporan siasatan tersebut dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Sepanyol.
Pihak CIAIAC mengklasifikasikan kejadian sebagai ‘keadaan luar biasa’, namun menjelaskan semua kapten pesawat dilatih untuk menghadapi situasi rakan juruterbang yang tiba-tiba tidak sedarkan diri.
Walaupun kejadian seperti ini jarang berlaku, CIAIAC mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti 287 insiden ketidakupayaan juruterbang ketika penerbangan antara tahun 2019 hingga 2024 dalam pangkalan data Suruhanjaya Eropah. – AGENSI










