LANGKAWI: Peniaga makanan atau pakaian mencatatkan jualan tiga kali ganda sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung sejak Selasa lalu.
Peniaga laksa dan makanan bergoreng, Mohd. Isa Osman, 54, berkata, dia mampu memperoleh jualan sehingga RM5,000 satu hari sepanjang LIMA berlangsung.
“Saya orang sini dan sudah lama berniaga. Saya bersyukur penganjuran LIMA’25 ramai pengunjung datang dari dalam dan luar Langkawi.
“Ia memberi rezeki kepada saya yang berniaga di tepi jalan. Hari biasa, jualan saya hanya sekitar RM1,500 sehari, tetapi disebabkan LIMA, ia mencecah hingga RM5,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Isa berharap LIMA diadakan setahun sekali kerana ia berupaya memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk setempat.
Penyelia gerai makanan, Muhammad Nabil Aiman Muhammad Normiza, 23, pula memberitahu, jualan di gerainya juga meningkat apabila menjual 50 kilogram (kg) laksa setiap hari sejak LIMA berlangsung.
“Alhamdulilah pada musim LIMA’25, kami menjual laksa lebih daripada biasa. Sebelum ini kami hanya menjual 20 kg laksa sehari. Ini membuktikkan LIMA’25 memberi impak positif kepada peniaga-peniaga tempatan,” katanya.
Situasi berbeza dialami oleh peniaga pakaian dan cenderamata, Mohd Rizal Jasman, 58, yang memberitahu, perniagaannya sepanjang LIMA’25 lebih mencabar berbanding dua tahun lalu.
Katanya, pada LIMA 2023 hanya lima gerai pakaian dan cenderamata di kawasan itu selain terdapat tempat letak kereta berhampiran untuk kemudahan pengunjung.
“Sekarang ada lebih 10 peniaga sebahagian bukan orang asal Langkawi. Kilang yang menghasilkan barangan pun turun berniaga, ia memberi cabaran kepada kami,” katanya.
Situasi sama dialami Mimi Farizah Basharuddin, 54, yang menyifatkan jualan pada LIMA’25 kurang memberangsangkan.
“Penganjur pasang pagar di sini, jadi pelanggan terpaksa letak kereta jauh dan kena bayar RM5. Nak berjalan ke gerai kami jadi jauh,” katanya. – UTUSAN










