BEIJING: Sekurang-kurangnya lima maut, 19 cedera dan enam lagi dilaporkan hilang selepas satu letupan besar menggegarkan sebuah loji kimia di wilayah Shandong, timur China semalam.
Menurut pihak berkuasa tempatan, insiden berlaku di bengkel milik syarikat Shandong Youdao Chemical di bandar Gaomi, kira-kira beberapa minit sebelum tengah hari waktu tempatan.
Letupan tersebut menyebabkan kepulan asap tebal berwarna kelabu dan jingga di udara serta merosakkan tingkap bangunan berhampiran, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat berskala besar.
Stesen penyiaran rasmi China, CCTV, melaporkan punca letupan masih belum dikenal pasti manakala rakaman video yang tular di media sosial memaparkan suasana panik di kawasan perindustrian apabila asap menyelubungi bangunan, dengan beberapa premis berhampiran mengalami kerosakan pada bahagian tingkap.
Pasukan bomba dan penyelamat daerah menggerakkan 55 kenderaan dan 232 anggota ke lokasi kejadian.
Kementerian Pengurusan Kecemasan turut menghantar pasukan khas serta bantuan tambahan bagi mempercepatkan usaha menyelamat.
Sementara itu, seorang pekerja kilang lain yang terletak enam kilometer dari tempat kejadian berkata, beliau bukan sahaja terdengar bunyi letupan, malah turut merasai gegaran dan tiupan angin kuat.
“Saya sangat terkejut dan tidak berani keluar dari pejabat. Pintu dan tingkap kilang saya rosak… Jika saya berdiri lebih dekat ke tingkap, mungkin saya telah dihumban ke dinding akibat tiupan angin itu,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Meng.
Menurut laman web rasmi syarikat, Shandong Youdao Chemical yang ditubuhkan pada Ogos 2019, memiliki kawasan seluas lebih 46 hektar di Taman Kimia Gaomi Renhe dengan lebih 300 pekerja.
Ia terlibat dalam pembangunan, pengeluaran dan penjualan racun perosak, produk farmaseutikal serta bahan kimia perantaraan.
Untuk rekod, pada tahun 2015, satu siri letupan di sebuah gudang kimia di bandar pelabuhan Tianjin telah meragut lebih 100 nyawa serta menyebabkan pelepasan bahan toksik ke udara. –AGENSI










