TEL AVIV: Kementerian Pertahanan Israel berbelanja melebihi bajet yang diperuntukkan disebabkan perang di Gaza, sehingga mencetuskan pertikaian dengan Kementerian Kewangan.
Dalam mesyuarat tertutup Kabinet Keselamatan yang diadakan pada Ahad, Kementerian Pertahanan memaklumkan kepada kerajaan mengenai perbelanjaannya bagi tahun semasa melebihi paras yang dirancang sebanyak AS$4.17 bilion (RM17.5 bilion), kononnya disebabkan perluasan operasi ketenteraan di wilayah itu.
Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menganggarkan jurang bajet itu boleh meningkat sehingga AS$7 bilion (RM29.46 bilion) menjelang akhir tahun sekiranya perang berterusan, menurut penyiar awam Israel, KAN.
Pertelingkahan dilaporkan berlaku semasa mesyuarat antara Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich dan Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan, yang tidak dinamakan.
Pertikaian itu didakwa berkaitan tuduhan bersama mengenai pengurusan kewangan.
“Kamu buat sesuka hati,” kata Smotrich, menuduh pihak pertahanan melampaui bidang kuasa dan berbelanja tanpa pengawasan sewajarnya, walaupun dana diperuntukkan lebih awal.
Tuduhan itu kemudian dibalas pegawai Kementerian Pertahanan dengan menegaskan bahawa menteri sendiri turut terlibat dalam membuat keputusan berkaitan perang.
“Saya mengharapkan sokongan anda, kerana anda sebahagian daripada Kabinet,” katanya.
Menurut akhbar perniagaan Israel, The Marker, bajet Kementerian Pertahanan untuk tahun 2025 berjumlah AS$37.8 bilion (RM159 bilion), menjadikannya portfolio yang menerima peruntukan paling tinggi dalam kerajaan.– ANADOLU










