SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan mengenakan larangan perjalanan terhadap dua bekas pemangku presiden, berkuat kuasa sejak pertengahan Mei.
Larangan itu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap bekas Presiden Yoon Suk Yeol berhubung pengisytiharan undang-undang tentera tahun lalu.
Menurut agensi berita Yonhap, polis hari ini memaklumkan bekas Perdana Menteri, Han Duck-soo dan bekas Menteri Kewangan, Choi Sang-mok dihalang daripada meninggalkan negara kerana disiasat sebagai suspek kes pemberontakan.
Suk Yeol secara rasmi dilucutkan jawatan bulan lalu selepas dipecat dan digantung oleh ahli Parlimen, susulan cubaan untuk menggugat pemerintahan awam, yang menyaksikan tentera bersenjata dihantar ke Parlimen, pada 3 Disember lepas.
Beliau kini dibicarakan atas tuduhan pemberontakan berikutan pengisytiharan tersebut.
Jika didapati bersalah, Suk Yeol akan menjadi presiden Korea Selatan ketiga yang disabitkan atas kesalahan pemberontakan, selepas dua bekas pemimpin tentera yang terlibat dalam rampasan kuasa pa 1979.
Bagi tuduhan pemberontakan, beliau boleh dihukum penjara seumur hidup atau maksimum hukuman mati.
Rakyat Korea Selatan akan mengundi minggu hadapan bagi memilih pengganti Suk Yeol, sekali gus menamatkan beberapa bulan kemelut politik susulan pengisytiharan undang-undang tentera.
Duck-soo sebelum ini disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk menggantikan beliau.
Parti Kuasa Rakyat (PPP) terpaksa menarik balik keputusannya bulan ini selepas cuba membatalkan pencalonan bekas menteri buruh, Kim Moon-soo, bagi memberi laluan kepada Duck-soo.- AFP










