GAZA: Gaza berdepan kekurangan bekalan perubatan yang kritikal, dengan hanya enam daripada 22 pusat kesihatan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih beroperasi.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, bekalan perubatan penting kini berada pada tahap sangat kritikal.
“Hanya enam daripada 22 pusat kesihatan UNRWA yang masih beroperasi, disokong oleh 37 pusat perubatan yang terletak di dalam dan luar tempat perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Agensi pelarian itu berkata, ia menyediakan lebih 8.5 juta konsultasi perubatan di Gaza sejak permulaan perang Israel pada Oktober 2023.
“Akses tanpa sekatan untuk menyampaikan bantuan menyelamatkan nyawa, termasuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan asas, diperlukan segera,” katanya.
Israel terus menutup lintasan Gaza untuk kemasukan bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan sejak 2 Mac lalu, sekali gus memburukkan lagi krisis di wilayah tersebut.
Walaupun menerima desakan antarabangsa supaya menghentikan serangan, tentera Israel tetap meneruskan operasi ketenteraan terhadap Gaza, yang kini mengorbankan hampir 54,000 rakyat Palestin.– ANADOLU










