JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menyiasat dua kes terbaharu keracunan makanan melibatkan lebih 170 pelajar di bawah program makanan berkhasiat percuma negara itu.
Insiden terbaharu itu adalah antara enam kes yang dilaporkan sejak program tersebut dilancarkan secara rasmi pada Januari lalu.
Program berskala besar tersebut merupakan janji utama kempen Presiden Prabowo Subianto, yang bertujuan meningkatkan kualiti sumber manusia negara dalam jangka panjang melalui makanan berkhasiat untuk kanak-kanak serta memupuk pencapaian pendidikan terbaik.
Dalam kejadian terbaharu, seramai 165 pelajar di wilayah Cianjur, Jawa Barat, dimasukkan ke hospital selepas mengalami gejala keracunan makanan pada Isnin lalu, lapor portal Detik.
“Kami melakukan pemeriksaan ke atas dua sekolah melibatkan 972 pelajar, dan 165 daripadanya mengalami keracunan,” kata Ketua Bahagian Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Pejabat Kesihatan Jawa Barat, Rochady Hendra.
Berikutan peningkatan mendadak kes tersebut, pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat kesihatan di kawasan terjejas, menurut Jakarta Post.
Ekoran kejadian itu, beberapa pertubuhan masyarakat tampil menggesa program makanan percuma tersebut digantung sementara dan dikaji semula pelaksanaannya.
Indonesia Corruption Watch mendakwa, insiden tersebut berpunca daripada ketiadaan piawaian menyediakan makanan dalam kalangan dapur penyedia.
Pakar dasar kesihatan Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia, Diah Saminarsih berkata, kerajaan gagal mengambil kira perbezaan keadaan dan faktor persekitaran di setiap wilayah sebelum melaksanakan program itu secara menyeluruh.
“Kerajaan sekurang-kurangnya perlu mengkaji semula program ini. Menggantungnya buat sementara waktu bukanlah satu langkah yang buruk,” katanya.
Pakar pemakanan Indonesia, Tan Shot Yen pula berkata, program makanan percuma tersebut dilaksanakan terlalu tergesa-gesa tanpa penerangan menyeluruh di semua peringkat.










