KANGAR: Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM1 juta pada tahun ini melalui pemberian baucer buku yang sekali gus membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan selain memupuk budaya membaca.
Sebelum ini, Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Baucar Buku Semarak Membaca 2025 iaitu sebuah inisiatif oleh Perpustakaan Negara dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, kerajaan Madani sentiasa komited dalam usaha meringankan beban rakyat terutama dalam aspek pendidikan dan akses kepada sumber ilmu.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pemberian baucar buku yang bukan sahaja membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan, malah memupuk serta memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
“Program Baucar Buku Semarak Membaca diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Insentif ini adalah bertujuan untuk membantu dan meringankan beban rakyat dalam pembelian bahan-bahan ilmiah serta menggalakkan perbelanjaan domestik bagi merancakkan industri perbukuan negara.
“Kementerian Perpaduan Negara juga berterima kasih kepada pihak Shopee sebagai rakan e-dagang rasmi Perpustakaan Negara.
“Melalui jalinan kerjasama ini, Shopee telah bersetuju untuk memudahkan penebusan baucar, memperluas akses kepada buku berkualiti dengan harga mampu menyumbangkan baucar Shopee Live bagi mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli buku dan membaca,” katanya di sini hari ini.
Aaron Ago berkata, usaha murni tersebut boleh menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, manfaat baucar berkenaan antara lain merancakkan lagi industri buku tempatan dengan meningkatkan jualan buku dan menggalakkan pembukaan kedai buku baharu.
Selain itu, katanya, ia meluaskan capaian baucar kepada pelbagai saluran, termasuk platform e-dagang dan pesta buku negeri.
“Baucar ini boleh ditebus di pesta buku negeri yang terlibat. Seorang hanya boleh menebus satu baucar sahaja. Mereka layak menebus baucar bernilai RM10 dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM20 dan ke atas dalam satu resit transaksi bagi buku tempatan atau terbitan dalam negara sahaja.
“Penebusan baucar adalah bermula daripada 22 April 2025 sehingga 31 Disember 2025,” katanya.-UTUSAN