NEW DELHI: Mahkamah Agung India telah mengharamkan sebuah buku teks sekolah selepas satu bab di dalamnya membuat rujukan mengenai amalan rasuah dalam badan kehakiman.
Buku sains sosial yang telah disemak semula itu diterbitkan oleh Majlis Penyelidikan dan Latihan Pendidikan Kebangsaan (NCERT), yang bertanggungjawab merangka silibus dan buku teks untuk berjuta-juta pelajar sekolah di negara tersebut.
Sebelum ini, selepas Ketua Hakim Negara, Surya Kant mengkritik buku itu dengan menyatakan bahawa ia boleh merosakkan reputasi badan kehakiman, NCERT telah memohon maaf dan menarik balik pengedarannya.
Kini, mahkamah telah mengarahkan pemberhentian sepenuhnya penerbitan buku tersebut, sambil menyifatkan kandungannya sebagai amat menghina dan meluru.
“Satu larangan menyeluruh dengan ini dikenakan ke atas sebarang penerbitan lanjut, cetakan semula atau penyebaran digital buku tersebut,” kata mahkamah mengikut laporan laman web berita undang-undang, LiveLaw.
Hakim juga mengeluarkan notis kepada birokrat tertinggi di jabatan pendidikan sekolah dan pengarah NCERT, meminta penjelasan mengapa mereka tidak sepatutnya didakwa atas penghinaan mahkamah kerana memasukkan bab yang ‘menyinggung’ itu.
Kontroversi ini berpusat pada bab bertajuk Peranan Kehakiman dalam Masyarakat Kita dalam versi buku teks yang disemak semula untuk pelajar gerd lapan yang biasanya berusia 13 hingga 14 tahun.
Menurut laporan, teks tersebut merujuk kepada rasuah di pelbagai peringkat kehakiman dan turut mengetengahkan tunggakan besar kes. Berdasarkan data kerajaan, lebih 53 juta kes sedang menunggu perbicaraan di mahkamah India.
Buku teks itu mengaitkan kelewatan dalam penyampaian keadilan kepada faktor-faktor seperti bilangan hakim tidak mencukupi, prosedur undang-undang rumit dan infrastruktur yang lemah.
Bab tersebut mengundang reaksi keras daripada peguam yang menyifatkan kandungannya sebagai memalukan dan tidak menghormati institusi.
Peguam kanan, Kapil Sibal, menyatakan adalah sangat membimbangkan apabila pelajar sekolah diajar bahawa badan kehakiman itu korup.
Seorang lagi peguam kanan, Abhishek Manu Singhvi berkata, teks tersebut berat sebelah dan tidak menyentuh isu rasuah dalam politik atau birokrasi. – BBC










