SEREMBAN: Kedudukan PKR sebagai parti pemerintah dengan ramai dalam kalangan kepemimpinan parti berjawatan dalam kerajaan, menjadi faktor untuk mereka mencuba nasib menguji pengaruh masing-masing dalam pemilihan parti.
Itu diakui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut beranggapan situasi Pemilihan PKR kali ini jauh lebih sengit berbanding pemilihan lalu khususnya untuk jawatan Naib Presiden yang turut disandang olehnya ketika ini.
Katanya, tiada mana-mana calon untuk jawatan itu yang boleh dianggap sebagai pilihan memandangkan masing-masing kini membawa rekod dan prestasi baik masing-masing.
“Itu yang disebutkan ramai pihak, pemilihan kali ini sangat sengit dan saya akui perkara itu, saya sendiri dapat merasai persaingan tersebut, saya jangkakan hampir 10 orang akan menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden parti.
“Ia berbeza sebab dulu kita adalah pembangkang, sekarang kita adalah kerajaan dan ada di antara mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan, saya masih di peringkat Negeri Sembilan sahaja.
“Namun, apa yang paling penting adalah kita ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu kekuatan parti mesti dipertahankan. Kita punya tanggungjawab untuk meneruskannya sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kalah menang itu adalah adat, saya hanya menawarkan diri sahaja untuk meneruskan agenda parti, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini semalam.
Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan mengulas pandangan beberapa pihak bahawa kedudukan penyandang Naib Presiden PKR ketika ini adalah ‘tidak selamat’ untuk Pemilihan PKR kali ini.
Ini berikutan pencabar-pencabar untuk jawatan tersebut mempunyai pengaruh kuat termasuk mempunyai jawatan dalam Kabinet.
Selain Aminuddin, turut mengumumkan mempertahankan jawatan tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Tidak ketinggalan mahu memberikan saingan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, menuju PRU akan datang, PKR perlu mempunyai gabungan kepemimpinan senior dan muda yang akan dipilih menerusi pemilihan parti.
“Kalau ikutkan, saya antara yang senior dalam kalangan kepemimpinan sedia ada, selain Presiden malah dengan Timbalan Presiden pun saya lebih senior, sekarang ini ramai barisan kepemimpinan muda yang hebat akan bertanding.
“Sama ada saya dipilih semula atau tidak, itu saya serahkan kepada ahli, saya mahu angkat diri sendiri pun tidak boleh kerana semuanya ada rekod dan prestasi yang baik, jadi kita bersaing untuk kebaikan parti kita sendiri,” ujarnya.- UTUSAN










