Kakitangan kerajaan AS dilarang bercinta rakyat China

Kakitangan kerajaan AS dilarang bercinta rakyat China

DASAR merangkumi misi AS di tanah besar China, termasuk kedutaan di Beijing serta konsulat di Guangzhou, Shanghai, Shenyang dan Wuhan serta konsulat AS di Hong Kong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melarang kakitangan kerajaan yang berpangkalan di China daripada menjalinkan hubungan romantik atau seksual dengan warganegara China.

Dasar itu dikuatkuasakan oleh Duta Besar AS ketika itu, Nicholas Burns pada Januari sebelum beliau meninggalkan China dan turut terpakai kepada ahli keluarga serta kontraktor yang mempunyai kelulusan keselamatan, menurut Associated Press memetik empat individu tidak dinamakan.

Kementerian Luar Negeri China merujuk soalan kepada pihak AS sebagai jawapan kepada pertanyaan Bloomberg News.

Sementara itu, Jabatan Negara AS mendakwa pihaknya tidak mengulas mengenai perkara dalaman.

Larangan itu menekankan kecurigaan Washington yang semakin meningkat terhadap Beijing ketika kedua-dua negara terus bersaing dalam isu perdagangan dan pengaruh global.

China berikrar akan mengambil tindakan balas yang tegas selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan tarif baharu terhadap negara itu serta rakan dagangan lain dalam satu acara di Rumah Putih, pada Rabu lalu.

Dasar itu merangkumi misi AS di tanah besar China, termasuk kedutaan di Beijing serta konsulat di Guangzhou, Shanghai, Shenyang dan Wuhan serta konsulat AS di Hong Kong, lapor AP.

Kakitangan AS yang ditempatkan di luar China serta mereka yang sudah mempunyai hubungan dengan warganegara China dikecualikan daripada larangan tersebut.

China juga mempunyai syarat mengenai hubungan peribadi untuk kakitangan diplomatiknya.

Menurut undang-undang yang diluluskan pada 2009, kakitangan kerajaan China yang mempunyai pasangan berstatus warganegara asing atau pemastautin tetap di luar negara dilarang berkhidmat dalam misi asing.- BLOOMBERG

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN