PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sedang melaksanakan inisiatif Gerakan Ekonomi Madani (Gema) bagi meningkatkan penyertaan ekonomi orang Melayu daripada 16 kepada 30 peratus dalam rantaian sektor utama menjelang 2030.
Gema bakal menstruktur semua jaringan perniagaan orang Melayu melalui kerjasama antara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, usahawan belia dan syarikat korporat dalam satu ekosistem.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, melalui Gema, DPMM mahu menubuhkan 10 konsortium strategik dalam 10 sektor berimpak tinggi menjelang tahun depan.
Katanya, ia akan menyatukan lebih 5,000 usahawan Melayu ke dalam ekosistem perniagaan terancang dalam tempoh tiga tahun mulai 2026.
“Melalui inisiatif Gema, DPMM menyasarkan dapat menjana nilai ekonomi melebihi RM1 bilion menerusi kerjasama, jaringan perniagaan dan pemilikan aset korporat yang dilakukan secara bersama.
“Selain itu, inisiatif Gema dirangka untuk meningkatkan penyertaan ekonomi orang Melayu daripada hanya 16 peratus kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam rantaian nilai sektor utama dalam jangka masa lima tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, melalui penubuhan 10 konsortium itu, DPMM akan memfokuskan setiap konsortium dalam satu bidang disasarkan iaitu pembinaan; tenaga hijau; industri kreatif; keterjaminan dan kedaulatan makanan; minyak dan gas; guna tenaga TVET dan ekonomi gig serta peralihan tenaga mampan.
Tambahnya, turut disasarkan adalah bidang telekomunikasi; digital; logistik dan perkapalan serta bidang-bidang lain yang mempunyai potensi besar untuk diceburi oleh usahawan Melayu.
“Ideanya adalah untuk menggabungkan sekecil-kecil usahawan kepada sebesar-besar syarikat dalam satu konsortium, sebagai contoh bidang pembinaan, kita akan menggabungkan kontraktor G1 sehingga G7 di bawah satu bumbung.
“Melalui inisiatif ini, mereka boleh berkongsi ‘kek ekonomi’, kemahiran, teknologi dan sebagainya antara satu dengan lain di bawah konsortium bagi meningkatkan kemahiran masing-masing di masa depan,” katanya.
Pada Januari lalu, DPMM mengumumkan pelaksanaan Gema sebagai menyahut Kerangka Ekonomi Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu dan kemudiannya dilancarkan pada 7 Februari lalu.
Melalui inisiatif Gema, DPMM mahu memperkukuhkan semangat keusahawanan Melayu dengan membina rantaian nilai inklusif daripada pengeluaran bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan hingga ke pemasaran dan eksport.
Norsyahrin berkata, sebagai permulaan, Gema sudah menubuhkan empat konsortium membabitkan bidang peralihan tenaga dan kemampanan; guna tenaga TVET dan ekonomi gig; keterjaminan dan kedaulatan makanan serta pemilikan aset.
“Dalam bidang peralihan tenaga dan kemampanan, konsortium DPMM-Gentari SB telah memperoleh projek pemasangan panel solar di 100 stesen minyak Petronas. Ini adalah kejayaan pertama di bawah inisiatif Gema,” katanya. – UTUSAN










