TOKYO: Polis Jepun menahan empat individu kerana disyaki menjual imej lucah yang dihasil menggunakan AI generatif, dalam tindakan penguatkuasaan pertama seumpamanya, menurut laporan media tempatan hari ini.
Keempat-empat individu tersebut, yang berusia antara 20-an hingga 50-an, didakwa menghasilkan poster yang memaparkan imej tidak senonoh wanita dan menjualnya di laman lelongan internet, lapor penyiar awam NHK dan beberapa saluran berita lain dengan memetik sumber polis.
NHK melaporkan, suspek menggunakan perisian AI percuma untuk menghasilkan imej wanita berbogel – yang tidak wujud di dunia nyata – menggunakan arahan termasuk istilah seperti ‘terkangkang’.
Difahamkan, mereka menjual poster tersebut pada harga beberapa ribu yen setiap satu.
Menurut laporan, penangkapan itu merupakan yang pertama di Jepun berkaitan penjualan imej lucah yang dihasilkan oleh AI.
Kebimbangan semakin meningkat di seluruh dunia mengenai penggunaan AI untuk tujuan berniat jahat, termasuk melalui teknologi deepfake, yang mengubah gambar, video atau audio sebenar seseorang menjadi versi palsu.
Sekitar 96 peratus video deepfake dalam talian merupakan pornografi tanpa persetujuan, dan kebanyakan menggambarkan wanita, menurut kajian pada 2019 oleh syarikat AI dari Belanda, Sensity.- AFP










