GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran perjalanan berikutan penularan wabak campak yang semakin membimbangkan di Amerika Syarikat (AS), dengan 420 kes disahkan setakat tahun ini.
Jumlah itu sudah melebihi kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu, dengan kebanyakan kes tertumpu di barat Texas sebelum merebak ke negeri-negeri bersebelahan.
Campak merupakan penyakit bawaan udara yang boleh tersebar melalui titisan cecair daripada hidung, mulut atau tekak individu yang dijangkiti.
Antara simptom utama termasuk demam tinggi, hidung berair, mata kemerahan, batuk serta bintik putih kecil dalam mulut.
Kes yang lebih serius boleh membawa kepada komplikasi seperti radang paru-paru (pneumonia), cirit-birit, jangkitan telinga, radang otak (ensefalitis), kebutaan, malah kematian.
Sehingga kini, tiada rawatan antivirus khusus untuk campak, namun kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Berikutan penularan wabak ini, WHO menggesa pengembara antarabangsa untuk memastikan status vaksinasi mereka dikemas kini sebelum berlepas ke luar negara, khususnya ke Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan, WHO menegaskan keperluan untuk memberikan akses meluas kepada vaksin campak, beguk dan rubella (MMR) bagi mengekalkan kadar imunisasi tinggi dalam kalangan penduduk.
“WHO mengesyorkan agar individu yang berisiko tinggi seperti petugas kesihatan dan pengembara antarabangsa memastikan mereka menerima vaksin ini.
“Selain itu, individu yang tidak divaksin dan berada di kawasan wabak di Amerika Syarikat serta mempunyai kontak rapat dengan pesakit campak atau menunjukkan simptom jangkitan perlu mendapatkan nasihat pihak berkuasa kesihatan sebelum melakukan perjalanan ke luar negara,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, WHO menegaskan pada masa ini tiada sekatan tambahan terhadap perjalanan antarabangsa yang perlu dilaksanakan.- AGENSI










