WASHINGTON: Dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mencetuskan ketegangan selepas Presiden Donald Trump mengumumkan rancangan tarif baharu dan tambahan terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta China.
Terdahulu, Trump mengancam untuk mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas produk EU, dengan mendakwa blok tersebut dibentuk untuk ‘menindas’ negaranya.
Beliau turut mengumumkan duti tambahan 10 peratus ke atas import China, termasuk mengekalkan pelaksanaan tarif 25 peratus yang dicadangkan terhadap Mexico dan Kanada, berkuat kuasa 4 Mac ini.
PENDEKATAN AGRESIF
Trump memberitahu wartawan di Pejabat Oval kelmarin, tarif baharu ke atas import China akan meningkat kepada 20 peratus, selepas kadar 10 peratus yang dikenakan pada 4 Februari lalu akibat krisis opioid fentanyl.
Beliau pertama kali mengumumkan duti baharu ke atas import China dalam satu hantaran di laman Truth Social, dengan pelaksanaannya berkuat kuasa pada 4 Mac.
Menurut Trump, keputusan untuk menambah tarif terhadap China dan mengekalkan tarikh akhir bagi Kanada serta Mexico dibuat kerana pentadbirannya melihat usaha membendung kemasukan fentanyl ke AS masih belum menunjukkan kemajuan sewajarnya.
Keputusan itu mencerminkan pendekatan agresif Trump dalam menangani isu perdagangan dan keselamatan sempadan.
Bagaimanapun, banyak pihak memberi amaran langkah tersebut boleh mencetuskan tindak balas daripada negara terjejas, sekali gus memburukkan ketidaktentuan ekonomi global.
Keputusan Trump untuk meningkatkan tarif ke atas barangan China menggambarkan langkahnya semasa perang perdagangan penggal pertama dengan Beijing, di mana cukai import terus meningkat sehingga rundingan serius diadakan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Penasihat kanan di Institut Keamanan AS, Dean Cheng berkata, kenaikan tarif adalah sebahagian daripada strategi meluas Trump untuk bertindak balas terhadap cabaran China.
Langkah itu turut merangkumi tindakan Jabatan Negara menghapuskan kenyataan yang menolak sokongan terhadap kemerdekaan Taiwan serta pengawasan lebih ketat ke atas syarikat China yang disenaraikan di pasaran saham AS.
Kepemimpinan China akan bermesyuarat secara tertutup minggu depan bagi merangka pelan untuk melindungi ekonomi negara yang sedang bergelut dengan tarif dan ancaman perdagangan Trump.
Dua sesi perbincangan itu melibatkan mesyuarat parlimen China dan badan penasihat tertinggi negara.
Beijing menyatakan bantahan terhadap ancaman Trump, dengan menuduh AS cuba mengalihkan kesalahan mengenai aliran fentanyl dan berikrat untuk bertindak balas bagi melindungi kepentingannya.
Kementerian Perdagangan China menegaskan, negara itu mempunyai beberapa dasar antidadah paling ketat di dunia dan memberi amaran tarif baharu boleh membawa risiko besar kepada rantaian bekalan global.
Namun, Beijing dijangka bertindak lebih agresif apabila tarif baharu Trump mencecah 20 peratus, di samping duti sedia ada sehingga 25 peratus yang dikenakan semasa penggal pertamanya.
NEGARA EROPAH BERSUARA
Sementara itu, pemimpin Eropah memberi amaran untuk bertindak balas terhadap tarif baharu AS, selain menolak tuduhan Trump yang mendakwa EU ditubuh untuk ‘menghancurkan’ negara itu.
Pelan tarif yang diumumkan pada Rabu, merangkumi pelbagai import dari Eropah, termasuk kenderaan dan barangan lain.
Suruhanjaya Eropah menegaskan, EU akan bertindak tegas dan segera dengan sebarang sekatan tidak berasas ke terhadap perdagangan bebas serta adil.
Perancis dan Sepanyol menyokong pendirian EU dalam mengambil tindakan balas, selain menyeru perpaduan untuk mempertahankan kepentingan Eropah.
Menteri Ekonomi Perancis, Eric Lombard, yang kini menghadiri mesyuarat G20 di Afrika Selatan, menegaskan EU mesti melindungi kepentingannya dengan mengambil tindakan sama seperti AS.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, EU akan mempertahankan dirinya terhadap pihak yang menyerang dengan tarif tidak berasas dan mengancam kedaulatan ekonomi serantau.
Berucap dalam satu acara di utara Sepanyol kelmarin, beliau turut menekankan kesediaan EU dan negara anggota untuk mengambil langkah setimpal sebagai tindak balas terhadap tarif tersebut.
Sanchez turut menegaskan komitmen EU terhadap perdagangan terbuka dan kerjasama, berbeza dengan dasar ‘pengasingan’ yang dipromosikan oleh Trump.
Menteri Perusahaan dan Buatan Itali, Adolfo Urso turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dengan AS.
Bercakap kepada media kelmarin, beliau menekankan keperluan untuk mengelak perang perdagangan dan mengingatkan Barat untuk kekal bersatu.- AGENSI










