SHAH ALAM: Tetap tenang, penyanyi, Ziana Zain mengakui karier seninya tidak terjejas meskipun namanya terpalit dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Kata Ziana atau nama lengkapnya, Siti Roziana Zain, 57, kehadirannya di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada Khamis lalu hanya untuk membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
“Pada saya, siasatan ini tidak mengganggu pun karier seni saya pun. Saya hanya membantu siasatan dan hanya menjalankan tugas sebagai duta sahaja.
“Tiada apa yang perlu saya risaukan kerana saya bukan terlibat dalam modus operandi tersebut,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya akan lebih berhati-hati untuk menerima pelawaan sebagai duta, penyanyi lagu Putus Terpaksa tersebut positif menyerahkannya pada takdir.
“Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk menjadi duta, ini kali pertama. Kita sendiri tidak boleh jangka apa yang akan berlaku dan yang kita tahu hanya dasar.
“Bagi saya, mereka masih dalam siasatan. Jadi kita tidak boleh buat sebarang tuduhan yang tidak berasas. Bagi saya ini nasib,” jelasnya.
Ziana juga tegas menafikan dakwaan bahawa dirinya menerima wang ringgit berjumlah RM400,000 sepanjang dirinya bergelar duta kepada syarikat berkenaan.
“Kalau itulah jumlah wang ringgit yang saya terima daripada mereka, sudah lama saya beli kereta mewah baharu.
“Lagi pula, yang menjadi duta itu ramai. Sudah tentu banyak juga perbelanjaan yang dikeluarkan. Apabila angka tersebut dikeluarkan, bukan semua kami dapat,” jelasnya.











