Semantan hilang hak dapatkan semula tanah Duta Enclave

Semantan hilang hak dapatkan semula tanah Duta Enclave

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelewatan Se­­mantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan Estate) me­nuntut semula tanah di Jalan Duta Enclave (kini Jalan Tuanku Abdul Halim) selama berdekad-dekad menyebabkan hak pemulangan tanah tersebut tidak boleh diberikan kepadanya.

Bagaimanapun, kerajaan per­­lu membayar pampasan kepada pihak berkenaan dan pampasan tersebut tidak boleh 100 peratus daripada nilai terkini kerana tanah tersebut sudah dibangunkan dengan ba­ngunan awam.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Semantan Estate sendiri khi­laf dan lambat dalam mengemukakan tuntutan yang menyebabkan kelewatan mereka menjadi faktor utama tanah yang diambil oleh kerajaan dahulu kini dipenuhi dengan ba­ngunan kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kes ini semakin kompleks kerana sejak kemerdekaan, tanah yang dipertikaikan telah dimanfaatkan untuk kepentingan awam dengan pembinaan pelbagai bangunan kerajaan yang menjadikannya tidak boleh dikembalikan kepada pemilik asal.

Tambah beliau, jika Semantan lebih proaktif dan bertindak dengan segera serta tidak menangguhkan tuntutan selama berdekad-dekad, pastinya kerajaan tidak akan melaksanakan pembangunan atas tanah tersebut.

“Jadi memang benar, tanah tersebut tidak boleh dikembalikan dan Semantan Estate ha­nya layak menerima pampasan berdasarkan Seksyen 29 (1) (b) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

“Semantan Estate sendiri telah berdiam diri dan mele­ngahkan tuntutan mereka terhadap tanah tersebut. Oleh itu, mahkamah wajar menggunakan budi bicaranya untuk menentukan pampasan yang adil dan munasabah.

“Namun, Semantan Estate tidak boleh menerima pam­pasan penuh 100 peratus jika nilai semasa hartanah itu mencecah RM2 bilion. Ini kera­na peningkatan nilai tersebut berlaku akibat kelewatan, kecuaian, dan kelalaian mereka sendiri dalam mengemukakan tuntutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, tanah di Duta Enclave seluas 106.542 hektar tidak boleh dikembalikan kepada Semantan Estate.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, Semantan Estate tidak berhak mendapatkan semula tanah tersebut berdasarkan Seksyen 29 (1) (b) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Pakar Geostrategi, Dr. Azmi Hassan pula berkata, jika tanah tersebut dikembalikan kepada Semantan Estate ia bukan sahaja akan merencatkan pentadbiran kerajaan Persekutuan tetapi juga menjejaskan kepentingan negara secara ke­seluruhan.

“Banyak agensi kerajaan telah dibina di atas tanah tersebut. Pemulangannya menjadi sukar kerana boleh menjejaskan operasi harian kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, langkah terbaik adalah mencari penyelesaian timbal balas dengan Semantan Estate agar pemilikan tanah kekal dengan kerajaan kerana pembangunan di kawasan itu terlalu besar,” katanya.

Terdahulu, nilai keseluruhan 106.542 hektar tanah di Jalan Duta Enclave di­anggarkan bernilai antara RM4 bilion hingga RM5.5 bilion.

Nilai tersebut adalah jumlah yang kerajaan perlu bayar jika jalan penyelesaian pertikaian hak milik adalah menukarkan tanah milik kerajaan yang sama nilai dengan Duta En­clave untuk diberi kepada syarikat hartanah itu.

Berdasarkan penilaian kasar peratusan guna tanah atau zon perancangan plot, kawasan hijau/sukan termasuk stadium hoki dan masjid masing-ma­sing (16 hektar/RM250 sekaki persegi) daripada keluasan kawasan tersebut.

Bagi kegunaan kerajaan, mahkamah dan arkib pula (38 hektar/RM400 sekaki persegi), kegunaan bercampur pejabat (16 hektar/RM800 sekaki per­segi) dan rizab jalan raya (19 hektar/RM0 sekaki persegi).

Jumlah keseluruhan itu di­unjur jauh lebih tinggi jika mengambil kira kos pembinaan ba­ngunan dan kemudahan lain di atas tanah Duta Enclave.

Mengambil contoh institusi Masjid Wilayah Persekutuan berkeluasan 47,000 meter persegi dengan kos pembinaan RM255 juta antara 1997 hingga 2000, kata penilai itu, kini dianggar berharga RM520 juta bersamaan RM11,000 semeter persegi atau RM1,000 sekaki persegi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini