Salah siapa sungai utama di Pulau Pinang terus tercemar?

Salah siapa sungai utama di Pulau Pinang terus tercemar?

Keadaan Sungai Pinang yang airnya berwarna kehitaman dan banyak sisa sampah menjadikan sungai ini satu daripada enam sungai paling tercemar di Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Bagaikan tiada sebarang perubahan. Itu kesimpulan ringkas yang boleh dibuat mengenai nasib beberapa sungai utama di Pulau Pinang yang masih kotor, tercemar dan berbau busuk.

Bukan tiada sebarang penguatkuasaan dibuat malahan, pembersihan sungai secara berkala juga telah dilakukan hampir setiap minggu atau sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

Bukan itu sahaja, pelbagai kempen berkaitan juga disusun atur dan digerakkan semata-mata untuk menyemai sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan sungai di negeri ini.

Namun, usaha itu dilihat tidak ubah seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ memandangkan pencemaran sungai masih berlaku.

Tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dalam tempoh beberapa minggu ini khususnya di beberapa sungai termasuk Sungai Rambai di Bukit Mertajam dan Sungai Pinang tidak jauh dari George Town, mengesahkan keadaan tersebut.

Tahap kebersihan sungai-sungai itu serta beberapa sungai lain seperti Sungai Cempedak dan Sungai Jawi di Seberang Perai serta Sungai Kluang dan Sungai Titi Kerawang di bahagian pulau didapati masih mengecewakan.

Sungai-sungai ini juga tersenarai dalam kalangan 25 sungai yang dikategorikan sebagai tercemar daripada keseluruhan 672 sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di seluruh negara tahun lepas.

Walaupun isu pencemaran ini sering diulang siar di pelbagai penerbitan media, namun, segala jenis sampah masih dibuang ke dalam sungai-sungai ini tanpa sebarang kawalan sehingga menjejaskan ekosistem sungai selain membunuh banyak hidupan air khususnya ikan.

Bukan sahaja sisa makanan malah perabot, peralatan elektrik, perkakas plastik, botol dan sebagainya turut dihumban ke dalam sungai tersebut sesuka hati.

Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, sebanyak satu tan sampah dikutip setiap hari di salah satu daripada sungai berkenaan iaitu Sungai Pinang.

Andai kata sampah-sampah itu disusun secara menaik, kemungkinan ia boleh mencapai ketinggian sebuah bangunan tiga tingkat.

Itu baru sebatang sungai. Bagaimana keadaannya dengan lima batang sungai yang lain atau sungai-sungai yang turut tercemar, namun, tidak tersenarai?

Isu sungai kotor dan tercemar ini bukan perkara baharu, malah, ia sering ‘diangkat’ serta didebatkan hampir setiap masa dan setiap tahun. Bagaimanapun, ia terus berlaku walaupun langkah-langkah pengawalan dan pencegahan telah diambil.

Bagi seorang penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Sungai Pinang, Ahmad Khairi Nasiruddin, 38, dia terpaksa menghidu bau busuk dan menikmati pemandangan yang ‘menyakitkan mata’ hampir setiap hari.

Katanya, keadaan menjadi lebih teruk ketika hujan lebat apabila air sungai mula melimpah ke tebing dengan membawa segala sampah sarap yang terapung atau termendap dalam sungai itu sebelum ini.

“Memang pihak berkuasa (pekerja bandaran) ada buat kerja-kerja pembersihan sungai dan kutip sampah hampir setiap masa. Tapi, jumlah sampah tetap tidak menurun, malah, saya lihat semakin bertambah.

“Pernah terlintas untuk berpindah ke rumah baharu disebabkan masalah ini, tapi, bukan senang nak cari rumah sewa pada harga murah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemancing tegar, Muhammad Saufi Lee Abdullah, 44, pula berkata, dia pernah menegur tindakan pemandu sebuah lori kecil membuang sampah ke dalam sungai ketika memancing.

“Sudahlah mengotorkan sungai, saya pula dimarahi kerana menegur dia sesuka hati katanya. Dia (pemandu lori itu) siap mengherdik dan mencabar saya supaya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa jika berani,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader yang turut akui kecewa dengan hasil tinjauan yang dilakukan pasukannya.

Katanya, kemerosotan kualiti air sungai di Pulau Pinang amat ketara dan antara sungai paling teruk tercemar ketika ini ialah Sungai Jawi di Nibong Tebal, dan Sungai Pinang, di sini.

Jelasnya, kebanyakan sampah yang dibuang datangnya daripada sektor pertanian, termasuk ladang ternakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN