PETALING JAYA: Permintaan tinggi daripada pekerja asing di kawasan perindustrian membuka ruang kepada manipulasi pasaran sewa oleh segelintir penyewa rumah Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ingin meraih keuntungan berlipat ganda.
Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali berkata, terdapat penyewa asal yang menyewakan rumah mereka secara haram kepada ramai penghuni dalam satu unit untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Beliau berkata, ramai penyewa mengambil kesempatan kerana pendapatan yang rendah, harga barangan meningkat serta peluang mendapatkan keuntungan melalui penyewaan.
“Segelintir penyewa memanipulasi harga sewa kerana unit PPR yang disubsidi kerajaan jauh lebih murah berbanding kadar sewa pasaran biasa.
“Ada penyewa yang sudah meningkat dari segi taraf ekonomi tetapi tidak mahu melepaskan rumah PPR kerana boleh mendapat untung dengan menyewakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, terdapat pemilik rumah PA dan PPR menyewakan kediaman mereka kepada pihak lain untuk mendapatkan keuntungan, sekali gus menyalahgunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
Muhammad Najib berkata, selain manipulasi harga sewa, mentaliti sesetengah penyewa yang menganggap rumah PA dan PPR sebagai peluang pelaburan turut menyumbang kepada masalah penyewaan haram ini.
Kata beliau, mereka melihat peluang untuk menyewakan unit rumah tanpa rasa takut kerana kes sebegini jarang dikenakan hukuman tegas.
“Mereka beranggapan tiada tindakan tegas akan diambil kerana penguatkuasaan lemah dan tiada pemeriksaan berkala.
“Malah, ada yang terus menikmati subsidi kerajaan secara tidak adil, sedangkan masih ramai yang benar-benar memerlukan rumah tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan menjadi salah satu faktor mendorong penyewa menyewakan semula rumah PA dan PPR secara haram.
Jelasnya, tekanan kewangan dihadapi oleh penyewa, terutama golongan B40, memaksa mereka mencari jalan untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung kos harian yang semakin meningkat.
“Golongan B40 paling terkesan dengan kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Sesetengah penyewa memilih untuk menyewakan rumah mereka dan berpindah ke kawasan yang lebih murah bagi mengurangkan beban perbelanjaan bulanan,” jelasnya.










