Ekonomi Malaysia kukuh

Ekonomi Malaysia kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Ma­laysia semakin kukuh apabila muncul sebagai antara negara ASEAN dengan ni­lai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbaik tahun la­lu, sekali gus memasuki 2025 dengan asas yang mantap.

KDNK sepanjang tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus, lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada 2023.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) tahun lalu juga kekal kukuh dengan aliran masuk bersih RM47.4 bilion, menggambarkan keyakinan pelabur terhadap industri utama Malaysia khususnya teknologi maklumat dan komunikasi serta pembuatan semikonduktor.

Ringgit turut mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini menjadikan ringgit sebagai satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding do­lar AS pada 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan KDNK tahun lalu melebihi unjuran awal kerajaan sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, Kerajaan Madani juga berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun lalu iaitu sebanyak 4.1 peratus (2023: 5.0 peratus) berbanding sasaran 4.3 peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan dan kesungguhan kerajaan untuk mengubah ekonomi Malaysia, dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif serta diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi Madani serta disokong oleh kestabilan politik.

“Kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu kerajaan dan industri. Menjelang 2025, kerajaan kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, kerajaan mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun ini, didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

“Kerajaan komited meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang kukuh,” ujarnya.

Bagi merumuskan prestasi keseluruhan tahun 2024, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia meneruskan momentum positif dengan mengekalkan lebihan selama lebih dari dua dekad, mencatatkan RM32.8 bilion pada 2024.

Beliau berkata, lebihan CAB menyumbang sebanyak 1.7 peratus kepada KDNK berbanding 1.5 peratus pada 2023, sebahagian besarnya didorong oleh eksport bersih barangan pada RM117.1 bilion.

“Perdagangan perkhidmatan menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan defisit yang lebih rendah sebanyak RM13.9 bilion pada 2024 berbanding defisit RM43.2 bilion pada 2023.

“Perjalanan merupakan pe­macu penting eksport perkhidmatan yang menunjukkan peningkatan ketara kepada RM37.1 bilion, menggambarkan pertumbuhan dalam pelancongan global dan perjalanan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, akaun kewangan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM14.8 bilion berbanding dengan RM15.5 bilion pada 2023, disebabkan oleh aliran keluar dalam pelaburan portfolio.

“Pelaburan Langsung Luar Negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM36.4 bilion, di mana syarikat Malaysia berkembang secara global dalam menerokai pasaran baharu dan mempelbagaikan operasi terutamanya sektor perkhidmatan dalam aktiviti kewangan and elektrik, serta sektor perlombongan,” ujarnya.

Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, meskipun persekitaran global mencabar, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan yang mantap dalam aktiviti pelaburan, perbelanjaan isi rumah berterusan dan pengembangan dalam eksport.

“Di dalam negeri, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan yang menggalakkan bagi projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam serta disokong selanjutnya oleh pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.

“Perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan daripada pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar oleh kerajaan.

“Langkah ini termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam. Dari segi faktor luaran, peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan, permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka meningkatkan eksport,” katanya.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan.

“Risiko tersebut termasuk kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

“Namun, pertumbuhan berpotensi lebih tinggi termasuk berpunca daripada limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×