KUALA SELANGOR: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi memantau operasi kilang padi di seluruh negara dan membanteras penyelewengan bekalan beras putih tempatan (BPT).
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu bagi memastikan BPT tidak ‘ditukar’ kepada beras import yang hanya menguntungkan pengilang.
“Siasatan perlu dijalankan terhadap mana-mana kilang padi yang menukar beras tempatan kepada beras import. Kerajaan pasti mempunyai rekod mengenai kilang itu dan dapat segera mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Penubuhan jawatankuasa itu boleh dilakukan dengan kerjasama beberapa kementerian lain. Pemeriksaan mengejut perlu dibuat ke atas premis yang membeli padi,” katanya semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan isu kekurangan bekalan beras tempatan dan harga belian padi melibatkan sesi libat urus yang panjang dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan memerlukan masa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dengan memfokuskan kepada pihak berkepentingan sama ada pengguna, petani, pengilang dan pengedar.
Segala isu dan persoalan itu akan dibincang Mohamad bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Dewan Rakyat awal Februari ini.
Noh berkata, negara memerlukan kira-kira 13.75 juta tan keperluan beras setiap bulan, namun isu harga beras gagal ditangani sehingga kini.
“Harga beras tempatan yang sepatutnya dijual pada RM26 kini dijual pada harga lebih tinggi mencapai RM38 setiap 10 kg (kilogram) setanding dengan harga beras import. Ini memberi keuntungan besar kepada pengilang yang boleh meraih keuntungan hampir RM165 juta sebulan,” ujarnya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan seperti menghentikan lesen belian padi perlu dilakukan segera.











