SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan akhirnya berjaya menangkap Presiden Yoon Suk Yeol hari ini, susulan cubaan gagal beliau melaksanakan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, menurut penyiasat.
Sebuah konvoi dilihat meninggalkan pintu pagar kediaman Yoon di kawasan berbukit, di mana beliau bersembunyi, sebelum tiba di pejabat agensi antirasuah yang mengendalikan siasatan tersebut.
Penangkapan itu menjadikannya presiden pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditahan.
Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) berkata, penyiasat melaksanakan waran tangkap Yoon pada pukul 10.33 pagi (waktu tempatan).
Penyiasat boleh menahan presiden selama 48 jam dan berkemungkinan menyoal siasatnya di pejabat mereka di Gwacheon, dekat Seoul.
Pasukan penyiasat perlu memohon waran baharu jika ingin menahan Yoon lebih daripada 20 hari selepas penahanan awal.
Peguam Yoon, Seok Dong-hyeon berkata di Facebook, presiden membuat keputusan untuk tampil, bagi mengelakkan konfrontasi antara pasukan keselamatan dan polis, serta orang awam cedera di luar kediaman.
Ia adalah usaha kedua untuk menangkap Yoon, selepas percubaan pertama pada 3 Januari gagal ekoran konfrontasi selama beberapa jam dengan anggota Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PPS).– AGENSI










