Ketua Mahkamah ICJ dilantik PM baharu Lubnan

Ketua Mahkamah ICJ dilantik PM baharu Lubnan

NAWAF SALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Ketua Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Nawaf Salam, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu selepas memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Langkah ini dilihat sebagai tamparan hebat kepada Hezbollah yang mendakwa penentang mereka cuba meminggirkan kumpulan itu daripada struktur pemerintahan negara.

Pemilihan Salam sebagai Perdana Menteri mencerminkan perubahan besar dalam keseimbangan kuasa di kalangan fraksi sektarian Lubnan, susulan kekalahan Hezbollah dalam perang dengan Israel tahun lalu serta kejatuhan sekutunya di Syria, Bashar al-Assad.

Menurut kenyataan presiden, Salam menerima sokongan daripada 84 Ahli Parlimen daripada keseluruhan 128 kerusi, membolehkan beliau dilantik secara rasmi untuk membentuk kerajaan baharu.

Salam mendapat sokongan daripada fraksi Kristian, Druze, dan beberapa Ahli Parlimen Sunni, termasuk mereka yang sebelum ini menjadi sekutu dan penentang Hezbollah.

Namun, Ahli Parlimen dari Hezbollah dan sekutunya, Pergerakan Amal, enggan menamakan calon, menandakan mereka mungkin tidak akan menyertai Kabinet Salam.

Seorang pemimpin kanan Hezbollah, Mohammed Raad, mendakwa pihak lawan berusaha memecahbelahkan negara dan mengecualikan mereka.

“Mana-mana kerajaan yang menentang konsep kebersamaan tidak mempunyai legitimasi,” tegasnya.

Pentadbiran baharu ini berdepan cabaran besar, termasuk membangunkan semula kawasan yang musnah akibat serangan udara Israel serta melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk memulihkan sistem kewangan negara yang runtuh sejak 2019.

Pelantikan Salam ini menandakan babak baharu dalam politik Lubnan, di tengah-tengah harapan tinggi rakyat untuk reformasi dan kestabilan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN