BEIRUT: Ahli Parlimen Lubnan memilih ketua tentera, Jeneral Joseph Aoun sebagai presiden selepas kekosongan jawatan itu selama dua tahun, dalam usaha untuk membawa negara dilanda perang keluar daripada krisis kewangan.
Aoun, yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-61 hari ini, tiba di Parlimen pada Khamis untuk mengangkat sumpah jawatan, dengan mengenakan sut gelap dan tali leher cerah menggantikan pakaian seragam tenteranya.
“Fasa baharu dalam sejarah Lubnan bermula hari ini,” kata Aoun kepada dewan Parlimen.
Speaker Parlimen, Nabih Berri mengumumkan Aoun sebagai Presiden Lubnan selepas 99 daripada 128 ahli Parlimen menyokong pencalonannya.
Namun, ahli Parlimen blok pro-Hezbollah mengundi kosong pada pusingan pertama pagi semalam, menyebabkan Aoun kekurangan majoriti dua pertiga diperlukan untuk menang.
Sumber mendakwa, wakil blok tersebut bertemu dengan Aoun di Parlimen semasa sesi rehat sebelum ahli Parlimen kembali untuk undian kedua.
Aoun kini berdepan tanggungjawab berat untuk mengawasi gencatan senjata di sempadan Israel dan melantik seorang perdana menteri bagi melaksanakan reformasi yang dituntut oleh pemiutang antarabangsa bagi menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi terburuk dalam sejarahnya.
Aoun merupakan ketua tentera kelima yang menjadi Presiden Lubnan, dan yang keempat berturut-turut.
Negara itu tidak mempunyai presiden sejak tamat penggal Michel Aoun pada Oktober 2022, dengan ketegangan antara Hezbollah dan pihak lawan menggagalkan lebih 12 undian sebelum ini.
Tekanan antarabangsa meningkat dengan hanya 17 hari sebelum tamat gencatan senjata untuk menempatkan tentera Lubnan bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan negara itu selepas perang Hezbollah-Israel.
Kuasa presiden dikurangkan sejak tamatnya perang saudara 1975-1990.
Tetapi, mengisi jawatan tersebut penting untuk mengawasi rundingan bagi melantik perdana menteri baharu yang mampu menerajui kerajaan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh pemiutang antarabangsa.
Aoun dilihat sebagai calon pilihan utama yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) kuasa serantau, Arab Saudi.– AFP










