GAZA: Tentera Israel bersedia untuk berundur dari Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir, sebaik sahaja perjanjian damai dan pembebasan tebusan dimeterai.
Menurut penyiar awam Israel, KAN, pasukan rejim mula bersiap sedia untuk berundur dari sempadan Palestin di persimpangan Rafah, sementara menunggu penyelesaian perjanjian itu.
“Mesyuarat dan penilaian situasi diadakan pasukan selatan tentera Israel sejak 24 jam lalu sebagai persediaan untuk berundur secara beransur-ansur dari Gaza apabila perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa.
“Pengunduran Israel dari Koridor Philadelphi di sepanjang sempadan Gaza-Mesir diselaraskan dengan pegawai keselamatan Israel, Mesir dan Amerika Syarikat (AS),” kata media itu.
Ia menambah bahawa tentera rejim akan berundur dari Koridor Philadelphi dalam beberapa hari pertama selepas perjanjian dengan Hamas ditandatangani.
Bagaimanapun, ia menambah tentera mungkin mengambil masa sehingga seminggu untuk menarik balik kedudukannya dan infrastruktur yang didirikan di paksi Netzarim di tengah Gaza.
Perkembangan itu semakin menyemarakkan harapan rakyat Palestin yang sekian lama menantikan gencatan senjata di Gaza dan penyelesaian adil terhadap konflik panjang di wilayah tersebut.
Pada Selasa, Qatar memaklumkan, rundingan gencatan senjata Gaza sudah berada dalam peringkat butiran akhir dan mengumumkan perjanjian adalah semakin hampir untuk dimeterai.
“Satu draf perjanjian telah diserahkan kepada kedua-dua Hamas dan Israel dan halangan utama dalam isu perbalahan antara kedua-dua pihak sudah ditangani,” kata jurucakap Kementerian Luar, Majed al-Ansari pada sidang akhbar di Doha.
Seorang pegawai kerajaan Israel berkata, rundingan itu telah mencapai kemajuan sebenar dan memasuki tempoh kritikal serta sensitif.
Hamas turut mengesahkan gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan berada di peringkat akhir, malah pihaknya berpuas hati dengan status rundingan tersebut.
Rakyat Palestin dan Israel menyatakan keyakinan bahawa perjanjian gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan berjaya dimeterai, sekali gus menamatkan perang dahsyat lebih 15 bulan itu.










