KUALA NERUS: Beberapa pengusaha kedai makan di sekitar pantai Batu Rakit di sini, masih meneruskan perniagaan mereka meskipun sedar risiko runtuhan struktur bangunan boleh berlaku pada bila-bila masa akibat hakisan yang semakin meruncing ketika ini.
Mereka mengakui terpaksa meneruskan perniagaan kerana hanya itu sumber rezeki masing-masing buat masa ini.
Ghazali Mohamad, 50 berkata, ketika dia memulakan perniagaan enam tahun lalu, jarak kedai makannya dengan birai pantai adalah sekitar 200 meter.
“Keadaan pantai di sini sangat cantik ketika itu dan menjadi tumpuan ramai pelancong dari dalam dan luar negara. Namun sejak akhir-akhir ini, hakisan ombak semakin kuat menyebabkan bahagian dapur kedai makan ini terpaksa bergantung kepada binaan tambahan kayu selepas hakisan meruntuhkan sebahagian simen lantai.
“Kalau tengok dari tepi, memang agak menakutkan seolah-olah kedai makan ini tidak selamat, namun saya kekal bertahan dan akan berpindah sekiranya keadaan semakin teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, semalam.
Menurut Ghazali, situasi semakin meruncing menyebabkan ada peniaga yang terpaksa berpindah ke tempat lain setelah bangunan kedai mereka runtuh dihanyutkan arus ombak.
“Belakang ni dahulu,ada sebuah kedai memproses ikan segar untuk dijadikan ikan masin, namun pengusahanya berpindah sejak minggu lalu kerana kedainya runtuh akibat hakisan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Ahmad Hafiz Abdul Kadir, 48, pula bimbang kerana hakisan dijangka semakin kuat dalam beberapa minggu lagi.
“Setakat ini, ramai yang tambah guni pasir dan bina benteng guna duit sendiri untuk mengurangkan impak hakisan. Tidak tahulah sampai bila boleh bertahan, namun selagi boleh, kami terus berniaga seperti biasa,” katanya. – UTUSAN











