Anak saya tidak mengatasi undang-undang – Saifuddin

Anak saya tidak mengatasi undang-undang – Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail menggunakan sistem operasi kod Respons Pantas (QR) MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan anak­nya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika melakukan sebarang kesalahan.

Katanya, anak beliau tidak mengatasi undang-undang dan kalau ada laporan terhadapnya, itu tanggungjawab polis untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya.

“Merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini, kertas siasatan sudah disempurnakan dan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi kod Respons Pantas (QR) MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Saifuddin berkata, jika siasatan mendapati ada asas, biarlah ia dilakukan dengan adil dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Polis sebelum ini dilaporkan sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri seperti yang tular dalam laman media sosial sejak Rabu lalu.

Sementara itu Saifuddin Nasution berkata, sistem pelepasan imigresen khusus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh dilakukan sepantas empat saat.

Beliau yang sempat mengguna pakai sistem QR itu sebelum berlepas ke Abu Dhabi berkata, sistem pelepasan terbaharu itu buat masa ini diperkenalkan khusus buat rakyat Malaysia sebelum diperluaskan kepada warganegara lain pada masa depan.

“Sehingga kini, 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem pelepasan kod QR itu.

“Pengguna hanya perlu log masuk dan sistem ini membolehkan pelepasan dilakukan dalam masa 60 saat dengan secara purata 4 saat,” katanya.

Katanya, buat masa ini, sebanyak 40 unit autogate kod QR dipasang membabitkan 20 unit di KLIA1 dan 20 di KLIA2 bagi ketibaan dan pelepasan dengan kos keseluruhan pemasangan adalah RM19.2 juta.

Menurutnya, setakat ini, purata penggunaan harian kod QR itu adalah 10,000 pengguna sejak dilancarkan 1 Januari lalu dan jumlah penggunaan keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah 55,000 pengguna dalam tempoh 11 hari pertama sejak 1 Januari lalu.

Katanya, sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, sistem itu juga akan diperluaskan kepada perwakilan ASEAN terutama yang hadir bagi 400 mesyuarat berkaitan sebelum diperluaskan kepada pelancong dari rantau ini tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sistem sama juga akan diperkenalkan ke lapangan terbang antarabangsa lain seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, dan Langkawi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN