Ada pelabur minat majukan tiga pekan

Ada pelabur minat majukan tiga pekan

PEKAN Awah di Maran, Pahang yang dirancang sebagai 'pekan kembar’ Bandar Tun Abdul Razak Jengka kini terbiar dengan sesetengah kawasan dinaiki belukar. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kerajaan Negeri Pahang komited memajukan kembali tiga pekan di daerah ini dan Jerantut sebagai pusat pertumbuhan baharu yang serba lengkap serta sebagai kawasan industri yang berdaya saing untuk tarikan pelabur tempatan dan asing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, daripada tiga kawasan itu, ada pelabur luar negara khususnya dari China menunjukkan minat khsusunya di Pekan Tajau.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat awal dan saya tidak dapat beri butiran lanjut sehingga dapat dimuktamadkan dalam tahun ini. Saya akan turun ke lokasi dalam masa terdekat ini.

“Pekan Tajau dan Pekan Awah sangat strategik dimajukan sebagai pekan berdaya huni kerana lokasinya berhapiran stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung isu tiga pekan di Pahang yang umpama ‘hidup segan mati tidak mahu’ dan perlu diberi suntikan baharu.

Pekan Ibol Tunggal, Pekan Kampung Awah dan Pekan Tajau dirancang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan sosial di daerah ini dan Jerantut dengan kewujudan bangunan serta rumah kedai, kini mundur selepas pembubaran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ), 25 tahun lalu.

Mohamad Nizar memberikan contoh Pekan Tajau yang dipilih sebagai stesen ECRL perlu dilengkapi dengan prasarana untuk kemudahan penduduk dan bagi menarik kedatangan pelabur.

“Kita akan ikhtiar untuk cadangkan pelabur masuk ke kawasan itu tetapi perlu buat secara berperingkat. Bermula dengan Pekan Tajau dengan izin Allah SWT.

“Hakikatnya pelabur lebih gemar ke kawasan industri yang ada penumpuan industri seperti Gebeng. Selain itu mereka cenderung ke tempat yang sudah lengkap dengan infrastruktur,” katanya.

Namun, katanya, usaha berterusan perlu untuk meya­kinkan para pelabur domestik dan luar negara mengenai potensi tiga kawasan tersebut yang berdaya saing.

Beliau mengakui Pekan Tajau dan Pekan Awah mempunyai elemen tarikan tersendiri untuk dimajukan secara terancang sebagai satu pusat pertumbuhan seiring kemajuan negara dan pemangkin tarikan pelabur-pelabur termasuk dari China.

“Dengan adanya rangkaian landasan ECRL, kita berharap minat terhadap tiga kawasan itu bertambah apabila kos pengangkutan dan logistik dapat diturunkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×