TH perlu rancang kos haji dengan lebih teliti

TH perlu rancang kos haji dengan lebih teliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) sepatutnya merancang dan mengurus kadar menunaikan haji dengan lebih teliti kerana sudah diberi kepercayaan untuk memudahkan umat Islam menunaikan ibadah tersebut.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad mempersoalkan mengapa TH merasakan kenaikan kos tersebut sebagai beban sedangkan organisasi itu diberikan mandat untuk memudahkan umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji.

Menurut beliau, TH diberikan hak eksklusif memonopoli industri haji dengan tujuan utama untuk membantu pendeposit mengerjakan haji.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendeposit perlu menyimpan selama 15 hingga 20 tahun sebelum nama mereka dipilih untuk giliran haji.

“Dalam tempoh tersebut, TH seharusnya sudah mampu membuat perancangan dan unjuran kos yang diperlukan bagi setiap jemaah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan TH membe­lanjakan sebanyak RM261 juta bagi menampung pembiayaan golongan B40 dan M40 menunaikan ibadah haji tahun depan, menjadikan jumlah terkumpul bantuan tersebut melebihi RM2.8 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, ia berikutan kos penginapan di Tanah Suci yang meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Mekah dan Madinah.

Mengulas lanjut, Fathir Badri berkata, TH juga menggunakan dana pendeposit untuk melabur dalam pelbagai sektor yang memberikan pulangan keuntungan besar.

Kata beliau, TH turut menerima pengecualian cukai daripada kerajaan yang sepatutnya memberi kelebihan dalam meringankan beban kos jemaah.

“Jadi, kenapa perlu dikurangkan bantuan kewangan kepada jemaah sedangkan TH memperoleh keuntungan daripada pelaburan tersebut? Tindakan ini hanya menampakkan kos mengerjakan haji seolah-olah meningkat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan pengurangan bantuan kewangan oleh TH boleh memberi kesan langsung kepada industri haji swasta.

“Apabila kos meningkat, syarikat swasta mungkin mengambil kesempatan dengan menaikkan harga pakej mereka.

“Ini akan menyebabkan harga pakej haji swasta melambung, sekali gus membebankan bakal jemaah,” jelasnya.

Sehubungan itu, Fathir Badri berharap TH dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau harga pakej haji swasta terutama menjelang karnival haji yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Langkah ini penting untuk memastikan kebajikan pendeposit TH sentiasa terjaga dan mengawal kos agar tidak membebankan jemaah.

“TH perlu merancang dan mengurus kos dengan lebih teliti agar dapat terus membantu umat Islam Malaysia menunaikan ibadah haji tanpa beban kewangan yang keterlaluan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini