BACHOK: Kerajaan Negeri Kelantan akan membantu Persatuan Luncur Ombak Kelantan (PLOK) mempromosikan pertandingan luncur ombak antarabangsa yang bakal diadakan di Pantai Kemasin, hujung tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, lokasi Pantai Kemasin berpotensi dimajukan menerusi aktiviti berkenaan sekiranya dipromosikan di peringkat global.
Katanya, potensi itu terbukti selepas Pertandingan Luncur Ombak 2024 yang membabitkan penyertaan lebih 4O peserta seluruh negara berjaya dilangsungkan.
“Rata-rata peserta memaklumkan logistik dan keadaan pantai serta ombak sesuai untuk sukan seperti ini yang pertama kali dianjurkan di Kelantan.
“Kita anggap aktiviti sukan luncur ombak sebagai salah satu produk pelancongan baharu yang boleh menjadi tarikan ramai selain menjana pendapatan peniaga tempatan.
“Sebelum ini pertandingan luncur ombak lebih tertumpu di Pantai Cherating, Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seramai 40 peserta dari Kelantan, Sabah, Johor, Kelantan dan peserta tunggal dari Portugal menyertai pertandingan dua hari membabitkan kategori dewasa dan remaja.
Kamarudin berkata, di Bachok terdapat Persatuan Luncur Ombak Pantai Kemasin yang sebelum ini menjadikan pantai tersebut sebagai medan latihan. – UTUSAN










