30 peratus penduduk Israel miskin, golongan muda hidup melarat

30 peratus penduduk Israel miskin, golongan muda hidup melarat

PENUNJUK perasaan mengangkat sepanduk ketika menyertai protes terhadap pemimpin Israel di hadapan Kementerian Pertahanan di Tel Aviv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Hampir 30 peratus penduduk Israel hidup dalam kemiskinan walaupun ketika rejim itu semakin ‘rakus’ menyerang dan menghabiskan sejumlah besar dana ketenteraan menyerang penduduk Palestin dan negara-negara jirannya di sekitar Asia Barat.

Menurut laporan oleh pertubuhan bukan keuntungan LATET yang dikeluarkan awal minggu ini, hampir 2.7 juta penduduk Israel mewakili nisbah satu daripada lima individu, hidup di bawah garis kemiskinan, termasuk 1.24 juta kanak-kanak dan 158,500 warga emas.

PENDUDUK KEKAL MISKIN

Golongan muda di bawah 29 tahun paling teruk terjejas, dengan 47.2 peratus hidup di bawah paras kemiskinan.

Laporan itu juga menunjukkan bagaimana perang Israel-Hamas memberi kesan kepada prestasi akademik anak-anak mereka pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kadar kekurangan hidup berada pada tahap tertinggi dalam masyarakat Arab dan Haredi.

Kawasan termiskin ialah penempatan Haredi Modiin Ilit, diikuti oleh Jerusalem, Beit Shemesh, Bnei Brak dan Lod.

Laporan itu datang di tengah-tengah cabaran ekonomi yang lebih luas, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel menjunam daripada 6.5 peratus pada 2022 kepada hanya 3.5 peratus pada 2024.

Kenaikan harga turut memberi kesan yang tidak seimbang kepada populasi yang terdedah, dengan 70 peratus isi rumah yang mendapat bantuan LATET tidak menerima rawatan perubatan kerana kekangan kewangan.

Kadar kemiskinan tertinggi ditemui di Baitulmuqaddis yang diduduki, di mana 41 peratus keluarga diklasifikasikan sebagai miskin, diikuti wilayah utara dan selatan negara itu, dengan kadar kemiskinan masing-masing 22.5 dan 22.6 peratus.

“Walaupun sejauh mana dana disumbangkan kepada mereka yang memerlukan, hakikat bahawa ramai lagi masih memerlukan bantuan untuk makanan dan keperluan asas menyerlahkan keperluan mendesak terhadap penyelesaian yang lebih komprehensif,” jelas laporan itu.

LATET turut menekankan bahawa kajian itu bertujuan menekan pembuat keputusan dan Knesset untuk memenuhi tanggungjawab mereka terhadap kebajikan penduduk selain bertindak secara lebih sistematik dan tegas bagi mengurangkan kemiskinan serta jurang sosial.

“Langkah-langkah ekonomi yang dirancang untuk bajet 2025 membebankan semua orang dan dijangka akan menambah kesusahan, terutamanya dalam kalangan penduduk miskin.

“Dalam tempoh krisis apabila cabaran keselamatan dan ekonomi semakin meningkat, laporan ini berfungsi sebagai peringatan kritikal bahawa golongan miskin tidak boleh dilupakan.

“Kami menyeru pemimpin untuk memperuntukkan sumber yang sesuai, merangka pelan tindakan lebih komprehensif dan menubuhkan badan kebangsaan yang berdedikasi untuk memerangi kemiskinan,” tulis mereka.

DISKRIMINASI TERHADAP PALESTIN

Bagi warga Palestin Israel, laporan itu disambut sebagai satu lagi contoh diskriminasi yang mereka hadapi sejak permulaan pendudukan aparteid.

Halangan sistematik yang dihadapi mereka dalam pasaran buruh Israel telah mewujudkan jurang ekonomi yang berterusan.

Rakyat Palestin menghadapi cabaran dalam mengakses peluang pekerjaan, dengan kajian menunjukkan diskriminasi dalam amalan pengambilan pekerja terutamanya apabila permohonan pekerjaan mengandungi nama Arab.

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah mendokumentasikan bahawa rakyat Palestin mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih rendah berbanding dengan warganegara Yahudi, terutamanya dalam kalangan wanita.

Akses terhad kepada zon perindustrian, hab teknologi dan pusat perniagaan yang kebanyakannya terletak di kawasan Yahudi menyekat lagi peluang ekonomi rakyat Palestin.

Selain itu, rakyat Palestin sering menghadapi halangan dalam mendapatkan pelepasan keselamatan untuk jawatan tertentu dalam sektor teknologi dan pertahanan, yang merupakan majikan utama dalam ekonomi Israel.

Kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat Palestin kekal tinggi secara tidak seimbang disebabkan pelbagai bentuk pengecualian ekonomi.

Menurut Institut Insurans Kebangsaan Israel, keluarga Palestin tiga kali lebih berkemungkinan hidup dalam kemiskinan berbanding keluarga Yahudi.

Perbezaan ini dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk gaji purata yang lebih rendah apabila rakyat Palestin mendapat pekerjaan yang selamat.-AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN