BANGKOK: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara selama 235 tahun selepas didapati bersalah mencuri barang kemas bernilai lebih RM3.28 juta dari sebuah kedai emas tempatnya bekerja.
Somjit Khumduang, ditangkap selepas pemilik kedai di Khon Kaen, timur Thailand, memeriksa rakaman CCTV dan mendapati wanita itu mencuri sebanyak 47 kali sejak 2021.
Pemilik kedai mula curiga sejak dua bulan lalu setelah melihat seutas kalung emas jatuh dari poket apron Khumduang.
Namun, Khumduang mendakwa kalung itu mungkin terjatuh secara tidak sengaja ke dalam poketnya ketika dia berdiri di kaunter pameran, lapor Bangkok Post.
Menurut polis, Khumduang menggunakan hasil curi untuk membeli tanah, barangan berharga dan mempamerkan motosikal baharu serta barang kemasnya di media sosial.
Pemilik kedai mendakwa, nilai barang kemas yang dicuri adalah sekitar 25 juta baht (RM3.27 juta), namun Khumduang hanya memulangkan barang bernilai 7 juta baht (RM916,000), walaupun diminta berkali-kali untuk memulangkan semua barang curi itu.
Kes Khumduang ini mengingatkan kepada kes di Amerika Syarikat pada Ogos lalu, di mana seorang pekerja kantin sekolah dipenjara sembilan tahun kerana mencuri ayam bernilai £1.17 juta (RM6.76 juta).
Vera Liddell, 68, yang bertugas sebagai pengurus perkhidmatan makanan di Harvey School District 152, Illinois, didapati mencuri ayam sejak Julai 2020 ketika pandemik Covid-19 melanda.
Ketika itu, para pelajar belajar dari rumah, namun Liddell terus membuat pesanan ayam secara berlebihan sehingga Februari 2022.
Penyelewengannya terbongkar selepas pengurus kewangan sekolah mendapati kos makanan meningkat mendadak sebanyak £235,000 (RM1.36 juta) dalam satu audit rutin.– AGENSI










