PM bakal umum projek rumah mampu milik terbesar babit kos pelaburan RM13 bilion - Utusan Malaysia

PM bakal umum projek rumah mampu milik terbesar babit kos pelaburan RM13 bilion

NGA Kor Ming (tengah) beramah mesra dengan peniaga selepas lawatan kerja rasmi untuk melihat perkembangan Projek Menaik Taraf Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan projek pembinaan rumah mampu milik terbesar negara membabitkan kos pelaburan RM13 bilion bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pelaburan itu menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan rakyat termasuk penjawat awam mampu memiliki rumah sendiri.

Katanya, di bawah Ranca­ngan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 500,000 rumah mampu milik dan setakat ini, rumah siap dibina, sedang dibina dan diluluskan pembinaan berjumlah 443,000 unit.

“Bermakna 89 peratus sasaran RMK12 tercapai. Saya yakin menjelang penghujung RMK12, KPKT melepasi sasaran. Kita tunggu pengumuman Perdana Menteri untuk projek terbesar itu,” katanya selepas lawatan kerja rasmi melihat perkembangan Projek Menaik Taraf Pasar Siti Khadijah, di sini semalam.

Kelmarin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menjawab bagi pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dilaporkan berkata, sejumlah 688,663 daripada 1.3 juta penjawat awam masih berkhidmat, belum memiliki rumah dengan majoritinya dalam kalangan kumpulan pelaksana.

Sementara itu, Kor Ming mem­beri­ta­hu, Kelantan bakal memiliki landskap perbandaran terbesar di Malaysia yang akan bermula tahun hadapan.

Projek membabitkan kos RM48 juta itu bakal mentransformasi bandar Kota Bharu dengan mendapat sentuhan daripada Jabatan Landskap Negara.

“Sebanyak lapan projek termasuk landskap perbandaran bakal dilaksanakan, melibatkan peruntukan keseluruhan RM156 juta termasuk suntikan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

“KPKT turut menyediakan peruntukan RM1.5 juta sebagai tambahan kepada peruntukan RM5 juta yang diumumkan Perdana Menteri, untuk Projek Menaik Taraf Pasar Siti Khadijah.

Ia menjadikan peruntukan keseluruhan bagi projek berkenaan meningkat kepada RM6.5 juta bagi membolehkan pasar ikonik itu dibangunkan sebagai kebanggaan negeri dan sebagai destinasi pelancongan.

Kor Ming turut mengumumkan peruntukan RM12 juta untuk mengindahkan kembali Pantai Cahaya Bulan (PCB), termasuk mencantikkan gerai dan warung di situ.

“KPKT turut meluluskan peruntukan RM35.9 juta bagi membina 448 rumah mesra rak­yat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan setiap pemilik bakal menerima subsidi sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seunit rumah.

“Kita juga turut menyedia­kan peruntukan RM4 juta ke­pada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melaksanakan bengkel kejuruteraan serta menaik taraf balai di Kemahang, Tanah Merah dan Tok Bali, Pasir Puteh,” ujarnya.

KPKT turut peruntukan RM4 juta membina pasar baharu di Jalan Binjai dan RM2.2 juta untuk pelaksanaan Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) di bawah Jabatan Perumahan Negara di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia.

“Projek ini akan dimulakan segera dan dijangka siap pada 2027,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN