Trauma lihat kesan banjir, rumah roboh, kenderaan hanyut

Trauma lihat kesan banjir, rumah roboh, kenderaan hanyut

MOHD. Naim Asri Baharom hanya mampu melihat rumah pusaka yang didiaminya musnah akibat dilanda banjir puing di Kampung Teluk Rambong, Baling, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Struktur rumah roboh, kenderaan dihanyutkan ke dalam sungai dan kerosakan harta benda akibat banjir puing meninggalkan kesan trauma kepada penduduk yang berdepan musibah itu.

Keadaan di beberapa perkampungan antaranya Kampung Teluk Rambong dan Kampung Batu 60 di sini diibaratkan se­perti tsunami kecil yang menyukarkan kehidupan harian mereka.

Penduduk yang menjadi mangsa pula seakan-akan hilang kata-kata apabila banjir yang berlaku pada waktu malam 30 September lalu masih berlarutan hingga kini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka bimbang jika hujan lebat berterusan akan menghakiskan lagi tebing-tebing sungai yang semakin menghampiri kediaman penduduk.

Selain itu, fasiliti seperti jambatan yang berusia puluhan tahun turut roboh akibat di­hanyutkan arus deras sekali gus menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk yang tinggal di seberang sungai.

Mohd. Naim Asri Baharom, 46, antara yang ‘terduduk’ setelah rumah pusaka tinggalan arwah bapanya musnah akibat dibadai air yang menghanyutkan kayu-kayu dan batu dari kawasan Bukit Lata Putih.

“Banjir melanda rumah saya bermula 30 September lalu tetapi ketika itu rumah ini masih utuh dan hanya jambatan ke rumah saya yang roboh sebelum jambatan sementara dibina secara gotong-royong oleh penduduk menggunakan batang-batang pokok.

“Tetapi beberapa hari lalu, jambatan itu turut roboh akibat dilanda arus deras yang sekali gus menyebabkan saya rasa tidak sedap hati dengan keada­an rumah saya.

“Pada Sabtu lalu, kerisauan saya menjadi kenyataan apabila rumah yang didiami sejak 1990-an bersama keluarga akhirnya musnah akibat banjir puing ini dan kesannya amat dahsyat kalau dilihat,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Rambong di sini, semalam.

Sementara itu, Mohammad Yusof Mohd. Nor, 61, yang meng­usahakan dusun durian dan ta­naman kontan turut menyuarakan kesukaran untuk menjalani kehidupan harian apabila tiga jambatan di situ roboh.

Menurutnya, jambatan itu digunakan oleh penghuni 20 rumah yang tinggal di seberang sungai untuk berulang-alik ke masjid, menghantar anak ke sekolah dan mengeluarkan hasil kebun.

“Harap pihak berkaitan dapat menyediakan jambatan yang lebih kukuh kerana jambatan sekarang ini hanya guna batang pokok kelapa yang mampu bertahan beberapa bulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini