TEHERAN: Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Iran mengesahkan kumpulan Hezbollah, yang dibiayai Teheran, bertanggungjawab terhadap serangan dron di kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Tindakan ini dilakukan oleh Hezbollah Lubnan,” kata misi tersebut sebagai menjawab pertanyaan mengenai penglibatan Iran dalam serangan itu, menurut agensi berita rasmi IRNA.
Semalam, Netanyahu menuduh Hezbollah cuba membunuhnya selepas sebuah dron dari Lubnan menyerang kediaman keluarganya.
Kumpulan yang disokong Teheran dan terlibat dalam pertempuran dengan Israel di selatan Lubnan itu belum mengakui serangan tersebut.
“Cubaan Hezbollah, proksi Iran, untuk membunuh saya dan isteri hari ini adalah kesilapan besar,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Memberi amaran kepada Iran dan proksinya, Netanyahu berjanji akan membalas dendam terhadap pihak yang cuba mencederakan rakyat Israel.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei turut menempelak Israel kerana menyebarkan pembohongan yang disifatkan sebagai ‘amalan tetap rejim ini dan pemimpin jenayahnya’ berhubung tuduhan terhadap Iran, menurut IRNA.
Kumpulan bersenjata bersekutu dengan Iran, dikenali sebagai ‘paksi penentangan’ yang merangkumi Hezbollah, telah terlibat dalam perang Israel-Hamas di Gaza sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Teheran juga melancarkan dua serangan langsung ke atas musuh ketatnya, Israel sepanjang konflik ini, dengan yang terkini melibatkan 200 peluru berpandu pada 1 Oktober lepas, menyebabkan Tel Aviv berikrar untuk membalas tindakan itu.
Iran turut menegaskan mereka akan bertindak balas jika Israel menyerang.- AGENSI










